EKONOMI

Malaysia Catat RM17.5 Juta Di Pameran Makanan Australia

06/09/2024 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam pameran Fine Food Australia dari 2 hingga 5 Sept di Melbourne mencatatkan nilai perdagangan sebanyak RM17.5 juta dengan potensi untuk mencecah RM64.0 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan hari ini, penyertaan Malaysia mendapat sambutan baik daripada pemain industri tempatan, termasuk pengimport dan perkhidmatan hospitaliti, dengan potensi untuk memasuki rangkaian pasar raya besar seperti Costco.

“Pameran perdagangan antarabangsa ini menampilkan lima syarikat dari Malaysia dan pengimport Malaysia yang berpangkalan di Melbourne,” katanya.

Katanya buah-buahan kering beku, minuman tenaga, sambal, pes masakan dan produk berasaskan durian telah menarik perhatian ramai pengunjung.

Pejabat Kaunselor Pertanian (ACO) di Sydney menyertai pameran itu dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud berkata penyertaan negara membuka peluang baharu kepada pengeksport Malaysia dan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Beliau berkata lebih banyak produk makanan Malaysia akan memasuki pasaran Australia, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Menurut Naib Konsul ACO Sydney Kalaivani Gohbal, Australia antara rakan dagang strategik utama Malaysia dalam sektor agromakanan.

“Dengan masyarakat Australia yang pelbagai dan berbilang budaya, produk makanan Malaysia mempunyai peluang yang besar untuk diterima dengan baik di sini. Kepelbagaian ini mewujudkan ruang untuk produk Malaysia menarik minat pelbagai komuniti di seluruh Australia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan