EKONOMI

ASEAN Sedia Peluang Besar Untuk Perniagaan Chile - Setiausaha Agung

06/09/2024 02:53 PM

Daripada Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 6 Sept (Bernama) -- Rantau ASEAN menyediakan peluang besar untuk dimanfaatkan oleh kalangan perniagaan Chile, khususnya dalam sektor yang dikuasainya secara tradisional seperti perlombongan, perhutanan, pertanian, pembuatan serta ekonomi digital.

Bercakap pada majlis meraikan ulang tahun kelima Perkongsian Pembangunan ASEAN-Chile dan Hari ASEAN ke-57 di Santiago, Chile, pada Rabu, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menekankan kepelbagaian pasaran di rantau ini selain pangkalan pengguna yang kian berkembang dan rangkaian perjanjian perdagangan bebas yang luas.

“Pembabitan dengan ASEAN akan menggalakkan lagi kepelbagaian hubungan ekonomi Chile yang seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional serta memajukan penyepaduan dengan bahagian lain dunia," katanya dalam ucapan itu yang turut dipaparkan di laman sesawang rasmi ASEAN.

Bersandarkan keunikan ASEAN, Kao menggesa perniagaan Chile untuk memanfaatkan peluang pelaburan di rantau ini, khususnya ketika aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) Chile ke ASEAN secara relatifnya kecil dan memerlukan kerjasama berterusan.

Perdagangan Chile dengan ASEAN mencecah paras tertinggi US$5.17 bilion (US$1=RM4.33) pada 2022, peningkatan sebanyak 80.2 peratus sejak 2020, dipacu oleh sektor-sektor utama termasuk jentera elektrikal, kenderaan dan komponen serta produk tembaga.

Di sebalik penurunan kecil pada US$4.22 bilion dalam 2023 sebagaimana mengikut pangkalan data Statistik ASEAN setakat Julai 2024, perdagangan kekal memberangsangkan dan melangkaui paras purata lima tahun.

 

480 juta pengguna aktif internet di ASEAN

 

Menyentuh ekonomi digital, Kao berkata ASEAN muncul sebagai ekonomi digital ketiga terbesar global yang merangkumi lebih 480 juta pengguna aktif internet dengan majoriti 80 peratus dikenal pasti sebagai pengguna digital.

Ekonomi digital rantau itu juga dijangka berkembang daripada paras semasa US$300 bilion kepada hampir US$1 trilion menjelang 2030 dan berpotensi mencecah US$2 trilion jika dioptimumkan sepenuhnya.

“Bidang ekonomi digital ini akan menjadi pemacu utama pertumbuhan kita bagi rantau ini,” katanya.

Kao berkata ASEAN juga menyasarkan untuk memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) menjelang 2025 yang merupakan pertama seumpamanya di peringkat global.

Pada masa sama, 60 peratus daripada penduduk ASEAN berusia bawah 35 tahun, kelompok muda dan celik teknologi yang memacu bidang syarikat pemula niaga dan menjadikan rantau ini sebagai hab inovasi global.

Beliau berkata selain pertumbuhan digital, aspek kemampanan akan turut memacu pembangunan masa depan ASEAN dengan potensi ketara dalam tenaga boleh baharu dan komitmen terhadap inisiatif tindakan iklim dan ekonomi kitaran.

“Bersandarkan bilangan penduduk sebanyak 671 juta dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah US$3.8 trilion, ASEAN pada masa ini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dan diunjur meningkat ke tempat keempat menjelang 2030.

“ASEAN merupakan penggiat perdagangan keempat terbesar dunia dengan jumlah nilai dagangan pada US$3.8 trilion atau menyumbang 7.8 peratus daripada perdagangan global,” katanya.

Di peringkat perdagangan, Kao berkata ASEAN mempunyai tujuh Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala selain Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), malah sedang dalam peringkat rundingan FTA baharu dengan Kanada dan Majlis Kerjasama Teluk.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan