FOKUS BERNAMA

Menikmati Keindahan Sydney Menerusi Acara Larian CITY2SURF

07/09/2024 08:54 AM
Daripada Nurhafizah Tan

Kerap kali disalah anggap sebagai ibu negara Australia, kota raya Sydney terkenal dengan mercu tanda ikonik bersejarah seperti Opera House, Harbour Bridge dan pusat beli-belah Queen Victoria Building.

Justeru, tidak menghairankan jika lokasi-lokasi tersebut menjadi tumpuan pelancong asing yang mengunjungi kota pelabuhan ini.

Realitinya metropolis ini tidak sekadar menawarkan keindahan seni bina untuk diteroka, kerana sejak tahun-tahun belakangan ini pelbagai acara besar tahunan mula menjadi tumpuan pelawat asing, antaranya City2Surf yang merupakan acara larian komuniti tahunan terbesar dunia.

  Diadakan sejak 50 tahun lalu, program ini menyaksikan peningkatan penyertaan saban tahun, dan edisi terbaharu yang turut mendapat sokongan AirAsia X selaku rakan kongsi penerbangan, berjaya menarik 90,000 peserta dari seluruh dunia. Penulis antara rakyat Malaysia yang berpeluang mengambil bahagian dalam larian itu, pada 11 Ogos lepas.    

 

14 KILOMETER UNTUK SEMUA

Umumnya, jarak untuk larian sebegini adalah mengikut kategori, namun City2Surf hanya menawarkan satu jarak, iaitu 14 kilometer yang bermula dari Hyde Park di pusat bandar dan tamat di pantai terkenal Bondi Beach.

Pelari, tanpa mengira kategori, akan melalui lokasi-lokasi menarik termasuk beberapa pelabuhan seperti Ruschcutters Bay, Double Bay, Rose Bay serta laluan berbukit yang menguji stamina, iaitu Heartbreak Hill di kilometer keenam larian. 

pic-2

Bagi pelari profesional yang hendak bersaing kedudukan teratas dan memenangi hadiah wang tunai, mereka akan mendaftar dalam kategori Elite Runner, sementara pelari yang hanya mahu membantu mengumpul dana untuk tujuan kebajikan pula akan mendaftar di bawah Charity Superstar.  Bagi yang sekadar suka-suka boleh menyertai kategori Fun Run atau larian ria. 

Peserta larian ria pula dibahagikan kepada lima kumpulan mengikuti kemampuan mereka, iaitu Green Wave (paling depan) dan dilepaskan pada 7.40 pagi; Pink Wave (7.56 pagi); Blue Wave (8.21 pagi) dan Orange Wave (9.34 pagi).

Sesiapa sahaja boleh sertai larian ria ini termasuk yang berkerusi roda.

 

ORANGE WAVE  

Hanya untuk bersantai sambil menikmati keindahan kota, penulis memilih berlari dalam kumpulan Orange Wave bersama-sama kelompok berkerusi roda dengan rata-rata peserta tidak menetapkan sasaran masa ketibaan di garisan penamat.

“Kami hanya akan berjalan ke garisan penamat, kerana kami cuma nak berseronok dan memeriahkan suasana,” kata seorang peserta tempatan yang mahu dikenali sebagai Leia kepada Bernama, ketika kami menuju ke garisan permulaan.

Wanita ini datang bersama-sama keluarga dan ayahnya yang berkerusi roda.

 Suasana sepanjang laluan juga amat meriah dan unik kerana pelari dihiburkan oleh kira-kira 15 persembahan pelbagai muzik termasuk lagu yang dimainkan oleh deejay persis dalam parti, kumpulan instrumen brass dan orkestra. 

Sebagai kumpulan terakhir dilepaskan, peserta Orange Wave lebih banyak berjalan daripada berlari, dan tentunya lebih berpeluang menghayati hiburan tersebut selain merakam gambar di pelbagai kios dan lokasi mesra Instagram di sepanjang laluan larian.  

"Saya memang minat aktiviti larian seperti ini, dan ini pengalaman pertama menyertai (acara larian) di luar negara. Ternyata vibe (suasana) sangat berbeza dan luar biasa meriahnya," kata pelakon dari Malaysia Hariz Hamdan.

 

BERKOSTUM ADIWIRA, SOKONG BADAN AMAL

Selain itu, peserta juga hadir dengan memakai pelbagai kostum termasuk watak adiwira dalam komik seperti Spiderman, Wonder Woman dan Green Latern, menunjukkan acara ini boleh menjadi platform peserta mengekspresikan diri.

Pelancong dari Jepun, Mai Nogami, 31, yang mengenakan skirt tutu berwarna-warni, berpendapat acara larian ria itu membolehkan pelancong melihat keindahan Sydney dengan lebih dekat dan menarik, berbanding menaiki bas persiaran.

pic-5

"Kami bukan jenis terlibat dalam sukan seperti berlari, tetapi memandangkan kami sudah berada di Sydney, kami tidak mahu melepaskan peluang berseronok dengan peserta-peserta lain,” katanya yang datang bersama rakan-rakannya.

Pada masa sama, penampilan peserta dengan pelbagai kostum turut menarik perhatian peminat fotografi yang tidak putus-putus menghalakan lensa kamera mereka ke arah pelari yang berkenaan.

City2Surf sebenarnya merupakan acara mengumpul dana bagi disalurkan kepada beberapa badan amal di negara benua itu.

pic-4

Justeru, di sepanjang laluan, ada organisasi kebajikan yang menyediakan reruai di hentian-hentian tertentu bagi membolehkan pelari berinteraksi dengan bakal penerima sumbangan termasuk pesakit kanser dan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Menurut laman web rasmi City2Surf, mereka berjaya mengumpul dana lebih AU$3.8 juta yang bakal dimanfaatkan oleh badan-badan kebajikan tempatan seperti Australian Cancer Research Foundation dan Starlight Children’s Foundation.

Malah, ada penonton yang memanfaatkan acara itu untuk menunjukkan solidariti buat rakyat Palestin. 

 

CUACA SEJUK, NYAMAN 

Sekalipun acara larian, kebanyakan peserta tidak menunjukkan rasa penat kerana Ogos merupakan bulan musim sejuk di sini dan suhu pula sekitar 12 ke 18 darjah Celsius dengan sinaran matahari yang tidak kuat, sekali gus menawarkan suasana nyaman yang menyenangkan.

Menurut pempengaruh dari  Malaysia Shawn Pam, cuaca sedemikian yang sempurna untuk acara larian, membantunya mengekalkan stamina.

pic-3

Beliau yang berlari dalam kumpulan Blue Wave, bagaimanapun berkata cabaran sebenar datang daripada jumlah peserta yang terlalu ramai dan membataskan pergerakannya.

"Ini merupakan kali pertama saya menyertai acara larian dengan jumlah peserta yang begitu besar. Pada mulanya saya menyasarkan untuk berlari pada kadar kelajuan sekurang-kurangnya tiga minit 45 saat setiap km, tapi berakhir dengan empat minit tiga saat per km," katanya yang berjaya menghabiskan larian itu dalam tempoh 55 minit. 

Bagi peserta yang datang dan berlepas lebih awal, mereka tiba berpakaian musim sejuk namun boleh memilih untuk mendermakan pakaian berkenaan sebelum memulakan larian.

Selain City2Surf yang dianjurkan setiap Ogos, pengembara juga boleh menyertai pelbagai acara larian lain bagi melalui pengalaman melancong yang berbeza, antaranya Sydney Marathon pada September ini.

Sydney ialah antara destinasi penerbangan terus AirAsia X dari Kuala Lumpur. 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan