AM

Pujukan Ayah Bawa Muhammad Nasran Ke Pentas Dunia

08/09/2024 10:50 AM

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

LYON (Perancis), 8 Sept (Bernama) -- Pujukan dan galakan daripada bapa supaya menceburi kemahiran dandanan rambut di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, Terengganu lima tahun lepas, menjadi pencetus pelbagai kejayaan dilakar Muhammad Nasran Ahmad.

Muhammad Nasran, 22, yang pada mulanya berat hati untuk melibatkan diri dalam bidang berkenaan, kini mampu melebarkan sayap bukan saja di peringkat tempatan tapi sudah mengukir nama di peringkat antarabangsa.

“Saya sebenarnya tidak suka sangat dalam bidang dandanan rambut namun ayah paksa dan pujuk serta minta saya masuk IKBN Kemasik dalam kemahiran dandanan rambut…dari situ saya mula belajar dan minat timbul.

“Lepas itu ada pemilihan untuk WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan sejak dari situ saya masuk dan menang pertandingan WorldSkills. Ayah juga bangga saya dapat pergi bertanding di luar negara,” katanya kepada Bernama.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu pernah mencipta kejayaan dengan meraih tiga pingat emas dalam pertandingan WSMB 2023, WorldSkills ASEAN Singapore 2023 dan WorldSkills Asia Abu Dhabi 2023. 

Dan kini, beliau dalam misi memburu pingat dalam Pertandingan WorldSkills (WSC 2024) yang akan berlangsung di sini pada 10 hingga 15 Sept ini.

“Mewakili Malaysia memang satu yang membanggakan. Kita boleh menjulang bendera Malaysia ke persada dunia dan saya harap dapat membanggakan negara,” katanya.

Beliau berkata persiapan rapi telah dilaksanakan menjelang WSC 2024, iaitu pertandingan yang mempertemukan belia mahir dalam bidang dandanan rambut dari seluruh dunia.

WSC 2024 mempertandingkan 62 bidang kemahiran, dan Malaysia menyertai 14 bidang antaranya Robot System Integration, IT Software Solution for Business, Heavy Vehicle Technology dan Digital Construction.

Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat pada penyertaan edisi kali ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan menyediakan insentif khas RM40,000 kepada peserta memenangi pingat emas pada WSC di Lyon, sebagai tanda sokongan, galakan dan dorongan demi memburu kejayaan cemerlang.

Pemenang pingat perak pula akan menerima ganjaran RM20,000 manakala RM10,000 diberikan kepada pemenang gangsa dan RM4,000 bagi Medal Untuk Kecemerlangan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan