AM

TPM Ahmad Zahid Lakukan Lawatan Kerja Ke China

08/09/2024 02:55 PM

PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melakukan lawatan kerja lima hari ke China dari 8 hingga 12 September, bertujuan meningkatkan lagi hubungan Malaysia-China sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan semasa lawatan itu Ahmad Zahid akan menghadiri Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) 2024 dan Forum Perniagaan Halal Malaysia-China, serta mengadakan perbincangan dengan Penasihat Negara dan Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong.

"Lawatan ini akan menambahkan lagi momentum kepada hubungan dua hala yang kukuh di antara Malaysia dan China sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini. Hubungan dua hala telah kian berkembang sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP) pada 2013,” menurut kenyataan itu.

Atas jemputan bersama Tsang Wai-Hung, Pengerusi GPSCFL dan Chen Zinmin Presiden Persatuan Persahabatan China, Ahmad Zahid akan menghadiri Persidangan GPSCFL 2024 di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu bermula dari 8 hingga 9 September.

Persidangan bertemakan “Win-win Cooperation Under Significant Changes: Building A Global Community of Common Public Security” akan melihatkan pemimpin antarabangsa berkumpul untuk menangani masalah keselamatan awam. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga akan mengambil bahagian dalam persidangan itu.

Sementara itu, Kementerian Luar berkata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut dijadual mengadakan perbincangan dengan Wang Xiaohong mengenai perkara yang mempunyai kepentingan bersama kedua-dua negara. 

"Mereka juga dijangka bertukar pandangan berhubung isu serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Ahmad Zahid akan menghadiri Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di Shanghai yang dianjurkan oleh Halal Development Corporation (HDC) serta akan dihadiri oleh pemain industri halal dari Malaysia dan China pada 10 September.

"Beliau juga akan menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mara Aerospace & Technologies Sdn Bhd dan Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co Ltd dalam bidang penerbangan,” menurut kenyataan itu.

Untuk 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar Pada tahun 2023, jumlah perdagangan dengan Malaysia bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia. 

Separuh pertama 2024 telah mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (US$49.53 bilion). Pada suku pertama 2024, sejumlah 24 projek pembuatan telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.4 bilion (US$717.7 juta).

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan