AM

Kerajaan Perpaduan Terus Usaha Perkasakan Ekonomi Komuniti India - Ramanan

08/09/2024 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan Perpaduan akan meneruskan usaha memperkasakan ekonomi komuniti India di negara ini menerusi pelbagai inisiatif yang telah direncanakan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan.

Beliau berkata ini termasuk inisiatif seperti Skim Pembiayaan Pemerkasaan (SPUMI) Goes Big, Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan Prosperity Empowerment and A New Normal (PENN) untuk usahawan India, yang telah menunjukkan kejayaan serta prestasi memberangsangkan.

Mengenai SPUMI Goes Big, beliau berkata program di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional itu, telah mendapat sambutan cukup baik dengan setakat minggu lepas sebanyak RM10 juta telah diagihkan kepada 202 usahawan, sejak ia dilancarkan 3 April.

“SPUMI Goes Big bertujuan untuk memperkasa, menggemilangkan dan menggalakkan kemajuan usahawan masyarakat India dalam bidang keusahawanan.

“Tambahan sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan daripada bajet sedia ada iaitu RM30 juta pada tahun ini, menjadikan keseluruhan peruntukan untuk usahawan masyarakat India berjumlah RM60 juta dan ia terbesar sejak SPUMI diwujudkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata untuk tempoh sama bagi program BRIEF-I pula, sebanyak RM27 juta telah diagihkan kepada 322 usahawan India, sejak dilancarkan pada 5 Jun.

Manakala bagi program PENN di bawah Amanah Iktihar Malaysia (AIM) yang dilancarkan pada 13 April, beliau berkata ia turut mendapat sambutan cukup baik dengan RM14 juta daripada RM50 juta yang diperuntukkan, telah diagihkan kepada 1,250 usahawan wanita India, setakat minggu lepas.

Ramanan berkata secara keseluruhannya, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperuntukkan tambahan RM130 juta untuk komuniti India di negara ini, dalam tempoh empat bulan lepas.

Menyentuh berhubung proses pemantauan terhadap program serta peruntukan disediakan, Ramanan berkata beliau sendiri akan melaksanakan perkara itu dari semasa ke semasa untuk memastikan kejayaan.

“Saya faham, sudah pasti akan ada sedikit kelemahan (dalam pelaksanaan sesuatu program), tetapi kita akan pastikan segala perancangan berjalan dengan lancar. Justeru, saya telah meminta laporan mingguan untuk memantau perkembangan,” katanya.

Ramanan berkata pada masa yang sama, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), buat julung kalinya akan menganjurkan Persidangan Koperasi India untuk memperkasakan lagi perjalanan dan hala tuju Koperasi India di negara ini, pada bulan depan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan