AM

10-13 Peratus Penjawat Awam Bankrap Antara 2021 Hingga Tahun Ini

08/09/2024 10:50 PM

PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Kira-kira 10 hingga 13 peratus daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan antara 2021 hingga tahun ini melibatkan penjawat awam, kata Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) Datuk M Bakri Abd Majid.

Beliau berkata lebih membimbangkan data berkenaan menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun walaupun data kebankrapan nasional menunjukkan penurunan.

Berdasarkan data terbuka Mdl, beliau berkata statistik kebankrapan individu daripada sektor awam adalah sebanyak 12 peratus pada 2020, 2021 (10 peratus), 2022 (11 peratus), 2023 (13 peratus) dan 14 peratus setakat ini bagi tahun ini.

“Kegagalan pegawai awam menguruskan kewangan dengan baik bukan sahaja memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah kepada ekosistem perkhidmatan awam negara.

“Bagi penjawat awam yang diisytiharkan bankrap, tindakan tatatertib boleh diambil akibat keterhutangan yang serius selain mencemarkan imej perkhidmatan awam, sekali gus menjejaskan peluang kenaikan gaji dan pangkat selain kelayakan pembayaran bonus dan bantuan kewangan turut terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan dalam sesetengah kes, terdapat juga penjawat awam yang memohon untuk membangkrapkan diri sendiri bagi mengurangkan tekanan hutang yang berpanjangan.

Di pihak jabatan pula, M Bakri berkata ketua jabatan seharusnya memantau tahap keterhutangan petugas di bawah selian masing-masing dan peka terhadap perubahan kelakuan mereka.

“Tindakan pencegahan awal harus dijalankan dengan memperbanyakkan aktiviti berkaitan pengurusan kewangan peribadi dan jabatan juga boleh bekerjasama dengan pakar atau penasihat kewangan bertauliah bagi membincangkan hal berkaitan pengurusan kewangan,” katanya menambah kegagalan ketua jabatan melaksanakan tanggungjawabnya boleh mengundang gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam jabatan.

Mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang lebih baik, beliau berkata biarpun ia melegakan keresahan penjawat awam, tidak kurang ada pihak yang bersedia ‘menangguk di air keruh’ untuk menawarkan pinjaman baharu yang ‘tidak sihat’ kepada penjawat awam yang lalai khususnya.

M Bakri berkata ‘kitaran jahat’ berkenaan perlu dihentikan daripada terus merencatkan aliran tunai penjawat awam dan peranan semua pihak termasuk ketua jabatan amat diperlukan bagi mengekang masalah berkenaan.

“Selaras dengan pengumuman gaji baharu, pekerja sektor awam dilihat telah menjanjikan perubahan cara kerja atau tahap produktiviti lebih baik, namun ia bukan sekadar dua perkara itu sahaja malah pemikiran juga perlu diubah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan