AM

Persembahan 'Rumah Madani Jiwa Merdeka' Antara Tarikan Sambutan Hari Malaysia

09/09/2024 12:09 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Persembahan ‘Rumah MADANI Jiwa Merdeka’ yang menonjolkan elemen kenegaraan bakal menjadi antara daya tarikan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu, bermula 7 malam pada 16 Sept ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata Rumah MADANI Jiwa Merdeka bakal dipersembahkan oleh 100 artis budaya daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. 

“Rumah MADANI Jiwa Merdeka bakal mengetengahkan lima elemen kenegaraan termasuk lagu Negaraku, perpaduan, dinamik kemajuan, transformasi negara dan jiwa merdeka.

“Setiap elemen mempunyai makna tersendiri yang akan dikaitkan dengan tema Hari Kebangsaan iaitu ‘Malaysia MADANI Jiwa Merdeka’, serta kemajuan yang dicapai negara sejak zaman kemerdekaan dan perpaduan berbilang kaum,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ terbitan RTM hari ini.

Beliau berkata artis terkemuka negara seperti Stacy, Amir Jahari dan Faizal Tahir dijangka turut memeriahkan sambutan Hari Malaysia dengan pra-persembahan yang akan bermula pada 5 petang.

Mohamad Fauzi, dalam pada itu berkata program ambang sambutan Hari Malaysia anjuran Jabatan Arkib Negeri Sabah di perkarangan pejabat jabatan itu turut menanti-nantikan kehadiran orang ramai.

Katanya antara pengisian sambutan itu termasuk pameran pembentukan Malaysia dari 9 pagi hingga 5 petang pada 12 hingga 15 Sept, pertandingan melukis serta nyanyian lagu patriotik bertemakan Malaysia MADANI Jiwa Merdeka.

Mengulas lanjut mengenai sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu itu, Mohamad Fauzi mengajak orang ramai menyaksikan acara sambutan Hari Malaysia hingga akhir bagi menikmati segmen persembahan dron, pertunjukan ‘light and sound’ serta bunga api pada penghujung program.

“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal memandangkan kita menjangka kehadiran lebih 30,000 pengunjung ke program ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Merdeka360 atau ikuti platform media sosial di Facebook dan Instagram.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan