NIBONG TEBAL, 9 Sept (Bernama) -- Program berteraskan pendidikan seperti YES! Rock the School mampu menjadikan pelajar lebih cakna tentang laluan kerjaya yang berjaya pada masa hadapan, kata Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Beliau berkata justeru itu, proses pembelajaran masa kini harus melangkaui bilik darjah di samping memperkuat hubungan industri dan akademia bagi mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membina ekosistem untuk mengembangkan bakat.
"Kepada guru-guru yang berdedikasi, teguhkan iltizam untuk mendidik dan membimbing pemimpin masa hadapan dan hubungan dengan industri adalah kunci untuk menghidupkan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kelas anda," katanya dalam ucapan ketika merasmikan program YES! Rock The School Edisi Mega Pulau Pinang 2024 di sini hari ini.
Ahmad Fuzi berkata Pulau Pinang sedang mengharungi arus pembangunan yang kian pesat terutama dalam bidang semikonduktor dan negeri itu mempunyai visi untuk menjadi hab kepada inovasi dan teknologi, seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Bakat STEM Pulau Pinang.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong yang turut hadir pada majlis berkenaan berkata penganjuran program itu mencerminkan komitmen kementeriannya dalam membangunkan tenaga kerja masa depan dengan melibatkan sekolah dalam pembentukan bakat sedia industri.
Beliau berkata pada suku tahun kedua 2024, kadar guna tenaga tidak penuh berada pada tahap 37 peratus berbanding 32.8 peratus pada suku tahun kedua 2019 kerana bakat yang sepatutnya berada dalam industri dengan kemahiran STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau universiti tidak berada di tempat sewajarnya.
"Kebanyakan mereka tidak mempunyai maklumat dan kemahiran yang khusus untuk membantu transisi pengajian-ke-pekerjaan seperti kemahiran insaniah dan sebagainya," katanya.
Dalam memberi contoh, beliau berkata jika lima peratus daripada tenaga kerja, iaitu kira-kira 750,000 pekerja berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh dan jika produktiviti mereka berkurang sebanyak 20 peratus kerana kemahiran mereka tidak sesuai dengan pekerjaan, ia bersamaan dengan negara kehilangan produktiviti sebanyak 150,000 pekerja.
Hal itu katanya sekali gus boleh menyebabkan penurunan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 1.0 hingga 1.5 peratus, atau sekitar US$4.2 bilion hingga US$6.3 bilion dalam keluaran ekonomi setiap tahun.
Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia giat melaksanakan inisiatif YES! Rock the School dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Selepas kejayaan di Kedah, Pahang dan Johor, program berkenaan diperluas ke Pulau Pinang melalui kerjasama dengan Kerajaan Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia, bertujuan memberi pendedahan industri dan menyemarakkan minat murid dan pelajar sekolah terhadap kerjaya dalam bidang STEM, selain melengkapkan mereka dengan wawasan serta pengetahuan semasa industri.
Program YES! Rock the School Edisi Mega Pulau Pinang 2024 yang berlangsung dua hari melibatkan lebih 550 pelajar, 150 guru serta kaunselor dari 34 sekolah di negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial