AM

Tun Jugah Tokoh Penting Dalam Perjuangan Kemerdekaan sarawak Dan Penubuhan Malaysia

09/09/2024 05:16 PM

KUCHING, 9 Sept (Bernama) -- Negarawan dari Sarawak mendiang Tun Jugah Barieng menjadi tokoh penting yang telah berjuang bagi memerdekakan Sarawak dan membawa kepada penubuhan Malaysia.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Tun Jugah yang dikenali dengan panggilan “Apai” atau ayah dalam bahasa Iban telah membina, mencorak dan membuka langkah untuk Sarawak menjadi sebuah negeri berjaya tidak hanya dari segi pembangunan malah kualiti rakyatnya.

“Kini menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara apa yang telah dimulakan oleh Tun Jugah dalam memberi makna kepada sebuah negara yang bebas dan berdaulat,” kata beliau dalam ucapannya di Program Mengenang Negarawan: Tun Datuk Patinggi Jugah Temenggong Jugah Anak Barieng, Negarawan Terbilang di sini hari ini.

Dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawa, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Abang Johari berkata perjuangan Tun Jugah perlu diteruskan selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan Masyarakat Malaysia MADANI.

“Menyingkap kembali peristiwa yang membawa kepada usaha pembentukan Malaysia, pastinya tiada siapa yang dapat menafikan peranan, jasa dan sumbangan yang amat besar dimainkan oleh Tun Jugah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya berkata Tun Jugah merupakan pemimpin ulung masyarakat Iban dan memainkan peranan penting dalam merealisasikan impian pembentukan Malaysia.

“Pada 15 Feb 1962, beliau berjaya mengumpulkan 51 ketua kaum Iban dan penghulu di Kapit bagi  mendapatkan persetujuan mereka menyertai Tanah Melayu, Sabah dan Singapura dalam membentuk Negara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Tun Jugah juga menjadi individu utama terlibat dalam upacara perdamaian antara orang Iban Batang Rejang dengan Orang Kayan di Kubu Kapit (Fort Sylvia) pada 16 Nov 1924.

“Kedua-dua insiden jelas membuktikan bahawa Tun Jugah merupakan seorang negarawan terbilang dalam mengutamakan agenda perpaduan rakyat,” katanya.

Aaron berkata Program Mengenang Negarawan ini dianjurkan Arkib Negara Malaysia setiap tahun bagi mengenang dan memperingati jasa serta sumbangan para negarawan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Tan Sri Leonard Linggi Jugah masing-masingnya cucu dan anak kepada Tun Jugah, turut hadir dalam program itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan