AM

Keputusan Mahkamah Belanda: Hadiah Istimewa Buat Rakyat Sabah Sempena Hari Malaysia

09/09/2024 05:43 PM

KOTA KINABALU, 9 Sept (Bernama) -- Penghakiman terakhir Mahkamah Agung Belanda yang menolak rayuan kumpulan Sulu berhubung isu Sabah, merupakan hadiah istimewa buat rakyat Sabah sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Sabah 2024.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata pihaknya, akan terus menyokong segala usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia dilindungi setiap masa. 

“Terima kasih kerana sentiasa mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Malaysia. Kemenangan Malaysia di Makahmah Agung Belanda ke atas rayuan kumpulan Sulu adalah berita baik buat seluruh rakyat Sabah. 

“Keputusan ini membuktikan bahawa Sabah berdaulat dalam Malaysia. Ia sekali gus menamatkan tuntutan kumpulan Sulu yang Sabah tidak pernah iktiraf sejak dari awal lagi,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PBRS menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan atas komitmen dan usaha Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang begitu serius untuk memastikan segala tuntutan oleh pihak luar ke atas Sabah dapat dinoktahkan segera.

Jumaat lepas (6 Sept), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan bahawa, kerajaan telah memperoleh kemenangan penting terakhir di Mahkamah Agung Belanda, yang membuat keputusan memihak kepada Malaysia, dan menolak rayuan yang difailkan oleh pihak berkenaan.

Penghakiman yang memihak kepada Malaysia itu, secara berkesan membatalkan tuntutan yang dikemukakan kumpulan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan