JENAYAH & MAHKAMAH

Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Lori

09/09/2024 08:46 PM

KOTA BHARU, 9 Sept (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lori jenis Isuzu di Jalan Sungai Sam-Dabong kira-kira 12.45 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang lelaki berusia 37 tahun itu, dari arah Kuala Krai menghala ke Dabong, hilang kawalan sebelum terjatuh dan memasuki laluan bertentangan.

Beliau berkata berikutan jarak yang terlalu dekat, lori dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun yang datang dari arah bertentangan tidak sempat membrek dan telah melanggar mangsa sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.

"Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala motosikalnya telah terbakar dan rentung.

"Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita harap pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan had laju yang ditetapkan untuk mengurangkan kadar kemalangan di kawasan tersebut kerana beberapa kemalangan maut dicatatkan di jalan selekoh kawasan lokasi kejadian Jalan Sungai Sam-Dabong berhampiran Kampung Slow Temiang tersebut," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan