EKONOMI

Pasaran Hartanah Malaysia Raih Paras Tertinggi Dalam Lima Tahun Pada Separuh Pertama 2024

09/09/2024 11:46 PM

PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Pasaran hartanah Malaysia pada separuh pertama 2024 mencatat pertumbuhan tertinggi bilangan dan nilai transaksi dalam tempoh lima tahun, kata Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Menurut Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 yang dikeluarkan hari ini, JPPH berkata pada separuh pertama tahun ini, transaksi menokok lapan peratus dan 23.8 peratus kepada 198,906 bernilai RM105.65 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dalam kenyataan hari ini berkata pencapaian tertinggi pasaran hartanah pada separuh pertama 2024 didorong oleh pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia pada 5.9 peratus.

“Ini membuktikan Malaysia berada pada landasan yang betul untuk mencapai transformasi ekonomi negara berdasarkan kerangka Ekonomi MADANI,” katanya yang menyempurnakan pelancaran laporan itu.

Terdahulu, Lim turut merasmikan Simposium Penyelidikan Hartanah Antarabangsa (IRERS 2024) serta Sambutan Jubli Perak Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) di Institut Penilaian Negara (INSPEN).

Mengulas lanjut, Lim berkata sokongan berterusan kerajaan melalui pelaksanaan langkah Belanjawan 2024, termasuk menyediakan jaminan sehingga RM10 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan, pengekalan Kadar Dasar Semalaman pada 3.0 peratus dan pengecualian duti setem dokumen pindah milik bagi pembelian rumah pertama, menjadi pemangkin pasaran hartanah yang lebih kukuh.

Menurut Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024, prestasi aktiviti pasaran mengikut subsektor menunjukkan pertumbuhan kukuh iaitu subsektor kediaman (6.1 peratus), komersial (22.4 peratus), industri (2.3 peratus), pertanian (6.5 peratus) dan tanah pembangunan (12.1 peratus).

Nilai transaksi meningkat bagi semua subsektor terutama komersial (41.5 peratus) dan tanah pembangunan (59.3 peratus).

Menurut Lim, segmen aktiviti pembinaan bagi hartanah kediaman sangat menggalakkan apabila semua peringkat pembinaan menunjukkan pertumbuhan positif. 

“Namun masih ada risiko dan cabaran ekonomi global serta persekitaran luaran yang sukar diramal,” katanya.

Beliau berkata, bagi menggalakkan pengembangan pasaran hartanah, kerajaan memperkenalkan inisiatif melalui kerangka Ekonomi MADANI, antaranya menambah baik fleksibiliti syarat permohonan bagi program Malaysia My Second Home (MM2H), membangunkan Zon 2 Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Projek Rapid Transit Link (RTS) Johor Bahru-Singapura dan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak dijangka terus memangkin peningkatan ekonomi dan pasaran hartanah negara, katanya.

Laporan Pasaran Harta dan semua penerbitan lain boleh dilayari melalui portal rasmi NAPIC di https://napic2.jpph.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan