EKONOMI

Malaysia, China Telah Bina Asas Kukuh Bagi Tingkatkan Kerjasama, Pacu Ekonomi Ke Tahap Lebih Baik - PM Anwar

10/09/2024 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia dan China telah membina asas yang kukuh untuk kerjasama yang dipertingkatkan dalam sektor utama dan inovatif baharu yang akan memacu ekonomi kedua-dua negara ke tahap lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kedua-dua negara telah menikmati hubungan dua hala yang telah lama terjalin, disokong oleh hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh.

Beliau berkata lawatan Perdana Menteri China Li Qiang pada Jun lepas mengukuhkan lagi persahabatan yang erat dan saling menghormati antara Malaysia dan China.

“Lawatan itu menyaksikan pemeteraian Kitaran Kedua Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan serta Memorandum Persefahaman mengenai Meningkatkan Kerjasama Pelaburan dalam Ekonomi Digital dan Pembangunan Hijau, antara kedua-dua negara,” kata beliau dalam ucaptama pada Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) ke-17 di Pusat Konvensyen KL hari ini. 

Anwar berkata tahun lepas, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-15 berturut-turut, dengan jumlah perdagangan mencecah US$98.80 bilion. 

Dari segi pelaburan, China ialah pelabur asing kelima terbesar di Malaysia pada 2023, menyumbang US$14.5 bilion. 

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi negara, dalam sektor ekonomi, budaya, pendidikan dan perindustrian.

“Di bawah Kerangka Ekonomi MADANI, saya boleh memberi jaminan bahawa kami akan terus memberi keutamaan kepada menambah baik landskap ekonomi kami, dengan menggalakkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan inovasi,” kata beliau. 

Beliau berkata usahawan China telah bekerjasama rapat dengan rakan perniagaan lain dan telah membina asas untuk menjalin hubungan perniagaan dan ekonomi yang lebih baik dan kukuh merentasi sempadan negara.

Di peringkat global, beliau berkata mereka juga boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menjaga kerjasama ekonomi serantau, memastikan keselamatan rantaian bekalan yang penting dan menggalakkan agenda pembangunan sosioekonomi global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan