AM

MCMC Alu-alukan Aduan Awam Berhubung Kandungan Media Sosial Babitkan Kanak-kanak - Teo

10/09/2024 04:40 PM

KULAI, 10 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kandungan media sosial yang menyalahgunakan imej atau video melibatkan kanak-kanak. 

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kerjasama itu penting bagi memastikan perlakuan jenayah melibatkan kanak-kanak tidak berleluasa di negara ini.

“Bukan MCMC tidak buat kerja, memang kita ada pasukan pemantau dan dibuat setiap hari, tetapi kita perlu faham jumlah kakitangan MCMC terhad dan algoritma media sosial juga memainkan peranan kerana bukan semua orang akan melihat kandungan yang sama.

“Kita alu-alukan aduan dan kita akan ambil tindakan yang sesuai. MCMC ada emel, laman web, juga talian hotline. Ini adalah cara untuk membantu pasukan pemantau kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pembukaan Pusat Beli-Belah The Commune di sini hari ini. 

Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai turut mengingatkan masyarakat khususnya ibu bapa agar tidak mudah menjadikan anak-anak mereka terutamanya di bawah umur sebagai bahan kandungan media sosial.

“Sebenarnya memang salah bagi kita gunakan kanak-kanak sebagai bahan kandungan media sosial, perlu dapatkan kebenaran ibu bapa.

“Zaman ini mudah sahaja gambar dan video disalahgunakan menggunakan teknologi ‘deepfake’. Di Korea Selatan sudah ada masalah ini, imej dan video kanak-kanak dijadikan bahan lucah. Kita sebagai orang dewasa perlu jaga privasi mereka,” katanya.

Terdahulu seorang pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid sekolah rendah yang dibawanya dan merujuk kanak-kanak perempuan itu sebagai ‘crush’ dan kesayangan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini.

Lelaki berumur 24 tahun itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak termasuk seorang anak saudara perempuannya.

Khamis lepas seorang pengguna media sosial X, berkongsi tangkap layar hantaran TikTok milik pemandu bas sekolah itu sebelum Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak untuk membuat laporan polis terhadap individu berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan