EKONOMI

Ekspo Pemilihan Produk E-Dagang Malaysia Bakal Raih Transaksi Perdagangan Bernilai RM60 Juta

11/09/2024 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Ekspo Pemilihan Produk E-Dagang Malaysia yang membuat penampilan sulungnya dari 29 Nov hingga 1 Dis, 2024 bakal menarik lebih 15,000 pengunjung daripada pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menurut penganjur ekspo JMM Holding, acara itu dijangka menjana transaksi perdagangan bernilai kira-kira RM60 juta.

Disokong oleh Dewan Perniagaan Malaysia Guangdong (MGCC), ekspo itu akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), menjanjikan platform yang bertenaga untuk mempamerkan inovasi e-dagang terkini.

Pengasas JMM Holding Ellison Yang berkata acara tiga hari itu akan mempamerkan lebih 200 jenama terkemuka China dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merentasi pelbagai sektor termasuk tenaga baharu (fotovoltaik solar), penstoran tenaga, tempat pengecasan, pencahayaan, peralatan domestik dan produk-produk rumah pintar.

“Acara ini menawarkan pengalaman pembelian yang komprehensif untuk perniagaan Malaysia yang mahu mendapatkan pesanan pukal dan pengguna-pengguna runcit yang mencari pelbagai jenis produk.

“Ekspo ini juga akan menyerlahkan teknologi termaju dalam sektor elektronik China, terutamanya untuk bagaimana penyelesaian tenaga baharu akan mempercepatkan peralihan hijau. Ia memberi faedah yang ketara termasuk mengurangkan kos logistik dan rantaian bekalan yang diperkemas yang penting dalam persekitaran ekonomi hari ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Yang juga berkata dengan pengukuhan ringgit baru-baru ini, bank-bank tempatan optimis tentang prestasi ekonomi Malaysia pada separuh kedua tahun ini dan ia menggalakkan perniagaan tempatan memanfaatkannya serta meneroka peluang-peluang perdagangan rentas sempadan yang baharu.

“Momentum ekonomi yang positif ini menawarkan tetingkap strategik untuk perniagaan mengembangkan pasaran mereka, melibatkan diri dalam perdagangan yang lebih kos efektif dan merebut peluang pasaran baru muncul di China dan seterusnya.

“Ekspo ini bukan sekadar pameran perdagangan, ia adalah pemangkin untuk pertumbuhan, inovasi dan kerjasama dua hala yang lebih mendalam,” tambah beliau sambil menekankan acara itu akan memenuhi kedua-dua pasaran perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C).

Yang menegaskan ekspo itu merupakan satu bahagian penting dalam hubungan Malaysia-China, ketika kedua-dua negara meraikan hubungan ekonomi dan diplomatik yang ke-50 tahun.

Beliau berkata perdagangan dua hala antara China dan Malaysia melonjak kepada US$100.23 bilion (US$1=RM4.333) dan meningkat sebanyak 10.6 peratus dari tahun ke tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan