JENAYAH & MAHKAMAH

TDM Tumpas Aktiviti Seludup Lembu Di Sungai Golok

12/09/2024 12:59 PM

KOTA BHARU, 12 Sept (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) menumpaskan aktiviti penyeludupan 12 ekor lembu bernilai RM60,000 yang dibawa masuk merentasi Sungai Golok berdekatan sempadan Malaysia-Thailand semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan ketika kejadian 1.15 petang itu tiga suspek melarikan diri sewaktu serbuan dilakukan. 

"Dua suspek meloloskan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke Thailand manakala seorang lagi suspek dipercayai bersubahat melarikan diri menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda ke arah jalan utama dan meninggalkan 12 ekor lembu di tempat kejadian.

"Satu laporan polis berkaitan rampasan haiwan ternakan termasuk maklumat mengenai kenderaan pacuan empat roda itu telah dibuat di Balai Polis Lalang Pepuyu, Tanah Merah," menurut kenyataan itu hari ini.

Haiwan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Rantau Panjang manakala kes akan disiasat oleh pihak kastam.

Berdasarkan rekod, kes berkenaan membabitkan rampasan haiwan ternakan yang kedua berlaku sepanjang September ini di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia.

Kes pertama berlaku pada 4 Sept lepas membabitkan rampasan sembilan ekor kerbau dan seekor lembu yang diseludup masuk dari Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan