FOKUS BERNAMA

Makanan Tradisional Bajau Seri Semporna Ubati Kerinduan Perantau

12/09/2024 05:07 PM
Daripada Soon Li Wei

Sekali pandang, Restoran Seri Semporna yang terletak antara deretan kedai di Jalan PJS 8/12a, Sunway Mentari di sini kelihatan seperti restoran lain yang menawarkan masakan panas dan hidangan makanan laut segar. 

Namun, sebaik sahaja pelanggan melangkah masuk ke dalam restoran dan meneliti menu, ada kelainannya kerana ia menawarkan makanan tradisional masyarakat Bajau asli Semporna, Sabah.

Mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Semporna, daerah yang terletak di pantai timur Negeri di Bawah Bayu ini, pasti tidak dapat menafikan kelazatan pelbagai makanan laut serta keunikan masakan tradisional asli suku kaum Bajau, dan pasti merinduinya apabila kembali ke Semenanjung. 

Bagi mereka yang mengidam masakan suku kaum Bajau, anda tidak perlu lagi terbang ke Semporna untuk merasai keenakan hidangan asli tradisional itu kerana restoran berkenaan mampu memenuhi permintaan anda. 

Menurut pemilik Restoran Seri Semporna, Azreena Salleh, 35, kebanyakan bahan masakan di restorannya bukan sahaja diimport dari Semporna, malah hasil tangkapan laut segar juga diterbangkan khas dari sana bagi mengekalkan keaslian dan kesegaran, untuk dinikmati oleh pelanggan-pelanggannya. 

pic-2

"Kami mempunyai rumah sejuk beku di Semporna yang khusus untuk menyimpan hasil tangkapan makanan laut sebelum dihantar ke Semenanjung menerusi kargo udara bagi memastikan kesegarannya. 

"Selalunya ikan-ikan yang kami gunakan untuk hidangan ikan bakar adalah Ikan Pogot atau Ikan Kandaman yang tidak terdapat di Semenanjung dan hanya ada di pantai timur Sabah," katanya kepada Bernama. 

 

KEHIDUPAN BERUBAH 

Segalanya bermula apabila Azreena, yang mesra dipanggil Azreen, membuat keputusan untuk meneruskan legasi ibu bapanya dengan membuka Restoran Seri Semporna lapan tahun lepas di Jinjang, Kepong namun terpaksa ditutup apabila pandemik COVID-19 melanda. 

"Ketika kami kecil, ibu bapa kami memang mengusahakan restoran di Kampung Air, Semporna sehinggalah kami terpaksa berpindah ke Semenanjung pada tahun 2000 akibat ibu menghidap kanser dan terpaksa menjalani rawatan di sini 

"Sebagai ibu tunggal juga, saya terpaksa menjadi tunjang keluarga menjaga ketiga-tiga anak saya yang masih bersekolah ketika itu selepas ibu saya meninggal dunia pada tahun 2004 akibat kanser.

"Bagi mengubati rindu terhadap masakan asli Bajau dan ibu bapa saya, saya mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan restoran dan mengembangkan minat saya terhadap masakan asli suku kaum Bajau," kata anak kelima daripada lapan beradik.  

Bak kata pepatah 'ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?', begitulah kedua-dua ibu bapa yang menurunkan minat terhadap masakan tradisional asli kepada Azreena sehinggalah dia mahu berkongsi masakan air tangannya kepada rakan-rakan di Semenanjung. 

"Sejak kecil lagi, kami bermula dengan menolong ibu bapa di dapur dan di restoran. Kadangkala kami bergilir ikut bapa ke pasar untuk membeli barang basah. Daripada situlah kami belajar memasak daripada mereka," tambahnya.   

Meskipun nasib tidak menyebelahi Azreena apabila terpaksa menutup operasi restoran mereka ketika musim pandemik, namun setahun kemudian mereka mampu bangkit kembali dengan berpindah ke lokasi sedia ada di Sunway Mentari pada tahun 2021 sehinggalah sekarang. 

 

MENU MASAKAN ASLI BAJAU 

Bagi mereka yang buat pertama kali berkunjung ke Restoran Seri Semporna, anda bukan sahaja akan menjadi keliru tetapi juga rambang mata akan kepelbagaian menu yang ditawarkan, daripada kudapan, manisan, masakan panas, sup, sehinggalah kepada makanan-makanan laut segar selain beberapa jenis kerabu khas masakan ala Sabah. 

Namun kebiasaannya, bagi pelanggan baharu, Azreena akan mengesyorkan beberapa menu makanan asli 'paling laris' yang terdapat di restorannya seperti kambing bakar, ikan bakar belawis atau ikan bakar Uji Rashid dengan sambal belacan, serta kerabu kerang.

Azreena turut berkongsi antara menu pembuka selera bagi suku kaum Bajau iaitu latok, sejenis rumpai laut, yang rasanya sedikit masin dan rangup ketika dimakan, lagi sedap jika dimakan bersama sambal cicah. 

pic-3

"Selain itu, kami turut akan memperkenalkan putu iaitu makanan berasaskan ubi kayu yang diparut dan kemudiannya airnya diperah dan dikukus atau stim sehingga masak.

"Kami (suku kaum Bajau) menjadikan putu ini sebagai pengganti nasi yang biasanya dimakan bersama kima, tayum, tehe-tehe, sagol, ikan bakar serta beberapa makanan laut yang lain," katanya. 

Di samping itu, buah tarap adalah antara menu wajib yang harus disyorkan kepada pelanggan-pelanggannya bagi 'membuka mata' mereka terhadap buah-buahan yang hanya terdapat di Sabah dan Sarawak. 

Menurut Azreena, buah itu juga dikenali sebagai 'marang' yang mendapat permintaan ramai dan secara fizikalnya, ia nampak seperti cempedak namun buahnya sangat lembut dan akan cair di dalam mulut jika dimakan secara segar. 

 

PROMOSI MENERUSI TIKTOK 

Percubaan Azreen untuk memperkenalkan resipi serta makanan tradisional suku kaum Bajau menerusi 'TikTok' ketika musim pandemik pada tahun 2020 turut membuka peluang kepadanya untuk membuka kembali Restoran Seri Semporna setahun kemudian.

Sedikit pun dia tidak menyangka bahawa sesi interaksinya dengan perantau Sabah yang tidak boleh pulang ke kampung halaman ketika musim pandemik turut menjadikan videonya tular dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. 

"Tidak boleh dinafikan bahawa kuasa Tiktok juga turut menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum, terutamanya mereka yang pernah berkunjung ke Semporna untuk melancong ataupun mencuba selam skuba. 

"Apabila mereka melihat video saya tular, mereka datang ke restoran saya untuk mencuba makanan tradisional Bajau untuk melepaskan rindu dan ramai yang kata rasanya seakan-akan di Semporna," katanya, menambah, dia berasa puas apabila menerima kunjungan pelanggan-pelanggan pelbagai kaum datang mencuba makanan di Restoran Seri Semporna dan memberi maklum balas yang memberangsangkan. 

pic-4

Walaupun restorannya kembali beroperasi pada tahun 2021, Azreen tetap meneruskan usahanya untuk menghasilkan video pada sebelah malam dengan bantuan adiknya, Mimie, untuk mempromosikan makanan tradisional suku kaum Bajau.

"Selain mempromosikan restoran, kami juga turut menerima tempahan makanan laut sejuk beku yang diterbang khas dari Semporna ke Lembah Klang serta makanan-makanan kering seperti keropok dan sambal belacan menerusi TikTok Shop," katanya. 

Meskipun masih belum ada rancangan untuk membuka cawangan Restoran Seri Semporna, namun Azreen tetap memasang angan-angan untuk membuka sebuah kedai runcit khusus untuk menjual barang-barang kering dan makanan dari Semporna, Sabah. 

"Buat masa sekarang sambil menguruskan restoran, kami turut menjual barang-barang tersebut di sudut kiri restoran kami. Pelanggan boleh membeli terus daripada kami selepas menjamu selera serta menempah makanan laut sejuk beku yang diterbang khusus dari Sabah daripada kami," katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan