AM

Bank Islam Raikan Tujuh Pemenang Cabutan Al-Awfar

12/09/2024 08:06 PM

KUANTAN, 12 Sept (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) meraikan tujuh pemenang termasuk dua daripadanya merupakan pemenang jutawan yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM1 juta bagi Cabutan Al-Awfar pada Mac dan Jun lepas. 

Sementara itu, lima pemenang lain berjaya membawa pulang hadiah lumayan berupa kereta BMW 320i M Sport, Honda HR-V, Honda City Hatchback, Perodua Myvi 1.5 dan wang tunai bernilai RM100,000.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam (Perbankan Runcit) Mizan Masram berkata hadiah itu merupakan sebahagian daripada ganjaran lebih RM18 juta disediakan pihaknya bagi menghargai pelanggan yang membuka akaun Al-Awfar.

Mizan berkata terdapat 15 kategori yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pelanggan seperti wang tunai, tiket pelancongan, kereta dan jongkong emas.

"Setelah 15 tahun berada di pasaran, Al-Awfar sentiasa menerima sambutan amat memberangsangkan dengan merekodkan saiz dana berjumlah lebih RM5.1 bilion menerusi 1.3 juta akaun pelanggan sekarang.

"Ia tidak mampu dicapai tanpa kepercayaan pelanggan terhadap Bank Islam dan kita mengucapkan terima kasih dengan mengadakan Cabutan Al-Awfar sebagai nilai tambah bagi menghargai sokongan mereka," katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Al-Awfar Cabutan Jun 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Datuk Mohd Muazzam Mohamed dan  Pengarah Deposit dan Kad Bank Islam Mohd Noor Jab.

 Pemenang jutawan ke-43, Ariffin Mahaiyuddin, 54, berkata beliau tidak pernah terbayang untuk memiliki wang tunai RM1 juta sebelum memenangi cabutan Al-Awfar berkenaan.

"Saya hanya membuka akaun Al-Awfar dengan jumlah RM50,000 sejak 2019 dan sebab itu, saya sukar hendak percaya apabila dihubungi pihak Bank Islam bahawa saya menjadi pemenang jutawan kali ini.

"Saya akan menggunakan sebahagian besar wang kemenangan ini untuk melabur semula ke dalam akaun pelaburan Bank Islam dan pastinya, selepas ini saya akan menggalakkan semua ahli keluarga serta rakan untuk membuka akaun Al-Awfar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan