AM

Perolehan 18 Pesawat FA-50M Ikut Jadual, Dua Simulator Akan Dibangunkan - Mohamed Khaled

13/09/2024 09:46 AM

Daripada Muhammad Afiq Mohd Asri

JINJU (Korea Selatan), 13 Sept (Bernama) -- Tahap kemajuan pembinaan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M milik Malaysia telah mencapai 39 peratus ketika ini dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka mula menerima kumpulan pertama pesawat pejuang itu pada 2026. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kesemua pesawat pejuang ringan berkenaan dibina mengikut jadual dan perolehan pesawat pejuang ringan FA-50M itu adalah antara perancangan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

"Kita memang perlu menambah aset udara kerana ruang udara angkasa kita luas dan memerlukan angkatan udara yang berkesan dalam melaksanakan peranannya.

"Kita beli FA-50M pada tahun lepas dan saya telah datang sendiri ke kilang pembuatannya di Korea Selatan untuk melihat kemajuan pembinaan FA-50M, selain melihat kelebihan yang ada pada pesawat itu," katanya selepas membuat lawatan di Korea Aerospace Industries (KAI) dan syarikat Hanwha Aerospace di sini.

Beliau berkata KAI dan Hanwha Aerospace merupakan syarikat pengeluar aset ketenteraan yang bertanggungjawab dalam pembinaan 18 pesawat pejuang FA-50M milik Malaysia.

“Walaupun KAI bertanggungjawab dalam pembuatan FA-50M, namun enjin F404 yang digunakan dibina oleh syarikat Hanwha Aerospace," katanya.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan syarikat aeroangkasa Korea Selatan itu menandatangani kontrak pada Mei tahun lepas bagi perolehan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M (Malaysia) dianggarkan bernilai RM4 bilion.

Mohamed Khaled berkata perolehan pesawat pejuang ringan FA-50M itu akan memperkasakan lagi ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia khususnya TUDM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang angkasa negara.

Diminta mengulas sama ada MINDEF ingin menambah aset udara selain FA-50M, beliau berkata perolehan aset udara yang lain bergantung pada perancangan TUDM dan kewangan negara.

"Di bawah CAP55 TUDM, kita ada senaraikan (untuk membeli aset udara) dan kita berharap agar kerajaan dapat memenuhi keperluan seperti yang pernah dirancang MINDEF," katanya. 

Sementara itu, Mohamed Khaled turut menyaksikan pemeteraian perjanjian peringkat kedua Program Kolaborasi Industri (ICP) antara syarikat tempatan Ikramatic Systems Sdn Bhd dengan KAI.

Ketika ditemui media, Pengarah Eksekutif Ikramatic Syed Mohamad Ikram berkata ICP itu membolehkan Ikramatic dan KAI membangunkan secara bersama dua simulator penerbangan jenis Full Mission Simulator dan Operational Flight Trainer.

Beliau berkata kedua-dua simulator itu bakal digunakan untuk melatih juruterbang FA-50M di dalam negara menjelang 2026.

“Satu daripada ICP yang dilakukan ialah pembangunan bersama sistem simulator dengan syarikat tempatan iaitu seperti berkongsi pengetahuan dan kepakaran untuk memajukan industri tempatan.

“Kami, syarikat Ikramatic telah dipilih untuk menjadi penerima ICP oleh KAI atas pengalaman 26 tahun membina simulator kapal terbang buatan tempatan,” katanya dan menambah KAI percaya Ikramatic mempunyai pengalaman dan kualiti baik sebagai sebuah syarikat.

Pada Disember tahun lepas, Ikramatic menandatangani kontrak peringkat pertama dan dilantik menjadi vendor kepada KAI bagi projek luar negaranya.

Ikramatic telah selesai menjalankan fasa pertama reka bentuk simulator FA-50M pada suku pertama 2024 dan kini berada pada peringkat akhir bagi fasa kedua reka bentuk sebelum beralih ke fasa pembinaan.

Pada Mac lepas, Bernama melaporkan perbezaan utama antara FA-50M milik TUDM dengan varian FA-50 yang lain ialah varian milik TUDM itu bakal dilengkapi dengan radar jenis Active Electronically Scanned Array (AESA) dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.

Varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM itu juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan