AM

Belanjawan 2025: KESUMA Tumpu Perkasa Institusi TVET Di Bawah Kementerian

13/09/2024 11:59 AM

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

LYON (Perancis), 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menumpukan agenda memperkasakan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah kementerian itu menerusi Belanjawan 2025.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata perkara berkenaan telah dibawa untuk perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

“Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong sendiri telah bawa (agenda perkasa TVET di bawah KESUMA) kepada Menteri Kewangan. TVET jadi agenda penting kepada kami,” katanya ketika ditemui pada pertandingan WorldSkills (WSC 2024) pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Beliau berkata KESUMA mempunyai 32 institusi TVET iaitu institut latihan perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) yang memerlukan peruntukan untuk penambahbaikan.

“Sudah pasti kami perlu lebih banyak bajet untuk TVET itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Rubiah berkata usaha kerajaan yang memfokuskan pembangunan TVET akan melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi untuk negara.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ada 1,735 pusat institusi TVET, kita sudah pasti dapat lahir ramai lagi modal insan berkemahiran,” katanya.

Pada 8 Jun lepas, Perdana Menteri berkata kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200 juta bagi memperkasakan dan meningkatkan penyertaan belia menceburi bidang TVET. 

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan