FOKUS BERNAMA

Anak Teruskan Legasi Ibu Bantu Generasi Yang Tersisih

13/09/2024 01:10 PM
Daripada Nina Muslim

Suasana di halaman banglo bersaiz sederhana itu agak riuh, kanak-kanak bermain, berkejaran riang, ada seorang wanita muda bersama mereka, dan sejurus muncul seorang lagi wanita berhijab, mengemas apa yang patut, tanpa memperdulikan bunyi bising itu.

Rumah itu juga mungkin milik datuk dan nenek yang mempunyai anak-anak yang sudah dewasa dan kanak-kanak itu adalah cucu mereka yang datang berkunjung pada hujung minggu. 

Ada wanita-wanita lain yang semuanya muda termasuk remaja belasan tahun, daripada pelbagai kaum. Ada juga seorang lelaki dewasa tetapi dia bukan ada kaitan dengan mana-mana kanak-kanak itu. Terdapat sekeping papan tanda kecil yang bertulis ‘Rumah Kita’ di dinding tetapi tembok tinggi yang mengelilingi banglo itu menjadikannya kelihatan seperti sebuah kubu.

pic-2

Mungkin juga ada yang menyangka rumah berkenaan hanya diurus oleh seseorang yang berusia tetapi realitinya terdapat seorang wanita yang hanya berusia 22 tahun dengan wajah yang manis dan berhijab turut membantu.

Nur Wardina Sophiellea Qistina Mohd Farid, mesra dengan panggilan Sophie, membantu menguruskan Rumah Kita, tempat perlindungan gadis dan wanita yang hamil di luar nikah atau tanpa kerelaan, juga bayi mereka. Di sebalik usia mudanya, Sophie amat mengambil berat akan wanita muda dan anak-anak yang di rumah itu, yang tidak berdaya melawan stigma masyarakat.

“Kami bertanggungjawab membantu mereka. Ada yang dibuang keluarga, dan mereka tidak tahu ke mana hendak pergi. Mereka mungkin mencari jalan singkat dan bunuh diri atau menjadi murung, jadi kita perlu bantu dan lindungi mereka, ” katanya kepada Bernama.

Kecenderungan Sophie dalam bidang kesukarelawanan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Arwah ibunya Vimmi Yasmin Razak menubuhkan rumah perlindungan itu pada tahun 2015 dan ibu saudaranya kini menguruskan premis itu. Sebelum itu, Sophie selalu menemani ibunya yang turut memberi makanan kepada gelandangan serta golongan miskin bandar di Kuala Lumpur. 

Meskipun Sophie tidak “pernah berbadan dua” seperti yang dialami penghuni Rumah Kita, dia dapat menyelami perasaan serta rasa cemas mereka. Dia berasa tidak adil untuk seseorang itu dihukum kerana satu kesilapan atau ditimpa insiden malang. Bagi Sophie, bantuan yang mereka perlukan dan dapat dihulur ketika mereka memerlukannya, boleh membantu mengurangkan beban perasaan.

pic-3

 

WANITA TANGGUNG STIGMA

Terdapat stigma yang mendalam terhadap wanita yang tidak berkahwin dan hamil di luar nikah di Malaysia dan juga di rantau ini, kemungkinan juga hamil kerana serangan seksual. Oleh yang demikian, tidak ada statistik tertentu yang juga boleh diperolehi umum tentang jumlah kehamilan di luar nikah.

Aktivis hak asasi wanita Sumitha Shaanthinni Krishna yang menyalahkan norma patriarki dalam masyarakat di rantau ini, memberitahu Bernama, wanitalah yang menanggung penangan tidak berkahwin dan hamil. Kurang tindakan terhadap lelaki yang bertanggungjawab menghamilkan wanita di luar nikah.

“Wanita tonggak maruah keluarga. jadi, sekiranya wanita melakukan ‘kesalahan’, bermakna bertentangan dengan jangkaan budaya, ini bermakna juga mereka mencemari maruah keluarga,” katanya.

Menurut beliau, stigma itu menjadikan ibu yang tidak berkahwin dan wanita muda yang hamil berada dalam keadaan yang lemah - dibuang keluarga dan disisih masyarakat. Mereka juga tidak mempunyai banyak pilihan. Meskipun di Malaysia, atas sebab-sebab tertentu dibenarkan menggugurkan kandungan tetapi ia biasanya dilakukan untuk menyelamatkan nyawa si ibu.

Akhirnya, ada yang terdesak meninggalkan bayi mereka, iaitu dianggap satu jenayah. Antara tahun 2020 dan tahun 2022, polis merekodkan sebanyak 256 kes bayi yang ditinggalkan. Kebanyakan bayi sama ada diambil sebagai anak angkat atau membesar di rumah anak yatim atau rumah kebajikan.

“Sekiranya wanita itu menjadi hamil di luar nikah, dia akan diadili oleh masyarakat. Tetapi sekiranya dia hamil, melahirkan bayi itu dan meninggalkannya, dia dicap sebagai ibu yang teruk dan seorang penjenayah, ” tambah Sumitha.

pic-6

Kerajaan tidak memerlukan maklumat si ayah untuk mana-mana anak yang dilahirkan di luar nikah atau disebut nullius filius (istilah Latin untuk anak di luar nikah). Jika si ayah mahu menuntut kebapaan, mereka perlu hadir bersama si ibu apabila mendaftarkan kelahiran anak itu. 

Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dari tahun 2010 hingga 2019, terdapat 362,246 bayi dilahirkan tanpa maklumat si ayah. 

Stigma atau tanggapan buruk masyarakat turut menimpa si anak. Akibat keperluan pendaftaran, anak-anak di luar nikah lebih mudah dikenali apabila mereka berkehendakkan sijil kelahiran, seperti bersekolah dan berkahwin.

Pekerja di Rumah Kita boleh mengesahkan wujudnya stigma itu, dilempar cacian, kebanyakannya daripada jiran mereka. Penghuni rumah berkenaan, seramai 25 orang, termasuk tiga orang anak yatim, semuanya dari Semenanjung Malaysia. Ada gadis yang datang ke rumah itu meminta bantuan, sementara yang lain dirujukkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat atau polis.

“Ada yang cakap kita bela pendosa dan ada yang kata kita lagi menggalakkan penzinaan,” kata Sophie,

Ibu saudaranya Suraya Razak, Pengerusi Rumah Kita bersependapat. “Mereka semua tak suka kami berada di sini. Mereka kata saya jaga budak yang terlanjur. Saya jaga budak jahat, ” katanya.

 

CAHAYA DALAM KEGELAPAN

Namun, di sebalik semua perkara yang negatif itu, ada juga ‘cahaya yang bersinar’.  Antaranya, melihatkan bayi berusia enam bulan di Rumah Kita gelak ketika diacah ibunya - yang tidak dapat berkahwin kerana teman lelakinya seorang yang tanpa negara; ketika beberapa orang anak yatim merapati si bayi untuk mencium atau memeluknya dan memerhatikan seorang wanita berusia 30an yang mempunyai masalah perkembangan mental - dirogol dan tidak dapat mengecam penyerang-penyerangnya akibat kekuranganya itu - bermain bersama kanak-kanak berkenaan.

pic-4

Buat Sophie, cahaya paling bersinar adalah ibunya Yasmin yang banyak membantu gadis dan wanita yang ‘tersasar’ dan mencari jalan keluar. Dia masih ingat bagaimana ibunya membantu seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang hamil akibat dirogol ayah kandungnya. Rasa terkejut yang amat sangat dengan kisah budak itu, yang pada masa itu hanya beberapa tahun sahaja lebih tua daripada Sophie, membuatkan Yasmin bertekad membantu ibu yang tidak berkahwin.

Terdapat juga remaja, akibat usia muda serta tidak matang, tidak dapat memahami sepenuhnya kesan akibat perbuatan mereka.

Apabila ibunya meninggal dunia pada November 2018, empat hari sebelum Sophie mencapai umur 17 tahun, Sophie dilanda kesedihan yang amat sangat, seolah-olah kehidupannya sudah berakhir. Begitu hancur hati Sophie meskipun ibunya sudah bertahun-tahun sakit sebelum itu.

“Ibu meninggal di hospital, pada hari Jumaat. Saya baru bangun dan bersiap untuk ke sekolah bila dapat panggilan telefon dari hospital,” kata Sophie, air matanya mengalir.

Sebagai anak sulung daripada lima beradik, dua adalah adik angkat, Sophie dan dua adik perempuannya bergilir-gilir menjaga ibu mereka, menguruskan rumah sementara ayah mereka bekerja sebagai chef di sebuah hotel.

Apabila ibu meninggal dunia, mereka hidup bergantung kepada pendapatan ayah mereka sebanyak RM5,000 dan perlu mengatur perbelanjaan bagi kelangsungan hidup keluarga enam orang di Lembah Klang.

Meskipun jumlah pendapatan itu secara teknikalnya tidak meletakkan mereka di bawah paras kemiskinan, satu kajian oleh Universiti Malaya (UM) untuk Belanjawan 2023 mendapati, ibu/bapa tunggal di Lembah Klang dengan seorang anak, memerlukan sekurang-kurangnya RM4,740 sebulan untuk hidup. Untuk yang mempunyai dua orang anak, jumlah itu meningkat kepada RM5,650.

Sememangnya Sophie berasa begitu terkesan apabila ibunya meninggal dunia. Pelajarannya terganggu. Dia memberitahu Bernama, meskipun dia lulus semua subjek, keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)nya amat teruk untuk dia melanjutkan pelajaran ke universiti, tanpa pertolongan.

pic-5

Ibu saudaranya Suraya mencadangkan agar dia mendapatkan bantuan daripada Youth Empowerment Foundation (YEF), yang kemudiannya meluluskan permohonan Sophie. 

Sharifah Aimi Wahidah, pelatih eksekutif pengurusan di YEF berkata, fungsi utama yaysan itu adalah untuk membantu anak-anak yatim, dengan ibu/ayah tunggal dan dari keluarga miskin, untuk meneruskan pelajaran mereka selepas SPM. 

“Cabaran bagi YEF adalah untuk menyakinkan sesetengah belia untuk meneruskan pelajaran mereka,” katanya.

Berlainan dengan kes Sophie. YEF memberikan Sophie elaun dan dia dapat menyertai program pra-diploma di UiTM, yang termasuk kelas pentadbiran perniagaan dan bagaimana untuk mengendalikan dengan secara rasmi, pertubuhan bukan kerajaan. Sophie juga dinamakan sebagai Pelatih Teladan Wanita Terbaik YEF 2024.

Badan kebajikan itu juga menyediakan tempat tinggal sementara bagi pelatih anak yatim dan pelatih yang dari luar bandar untuk memudahkan mereka meneruskan kehidupan berdikari. Sesetengah pelatih termasuk anak-anak yang membesar di rumah anak yatim kerajaan dan rumah kebajikan.

 

BANTUAN

Kewujudan badan kebaikan yang menghulurkan bantuan untuk wanita dan kanak-kanak sehingga mereka mampu berdikari dan mampu menjaga diri mereka adalah penting, terutama untuk masa depan Malaysia. Bagaimanapun, para aktivis mengeluh lebih banyak perkhidmatan sedemikian diperlukan dan apa yang ada tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Sumitha, aktivis hak wanita itu berkata, penetapan minda berhubung maruah keluarga dan patriarki perlu berubah, sesuai dengan perkembangan masa.

“Masing-masing ada pengalaman tersendiri. Jangan cepat membuat keputusan. Wanita dan kanak-kanak itu bukan penjenayah. Kita perlu lebih berperikemanusiaan,” katanya.

Kalau pun ada perubahan, sekiranya ia berlaku, mungkin akan berlaku secara berperingkat-peringkat. Namun ada petanda yang menggalakkan. Meskipun seks sebelum perkahwinan dan hamil di luar nikah masih satu tabu, nampaknya semakin banyak keluarga bersedia untuk menerima anak perempuan mereka serta bayi yang dilahirkan, meskipun secara berahsia.

pic-7

Sementara itu, Sophie berharap, akan ada lebih banyak fokus di sekolah dan di tempat lain, untuk mencegah kehamilan dalam kalangan remaja belasan tahun dan ibu yang tidak berkahwin, seperti menerusi pendidikan seks atau penggunaan kondom.

“Perlu lebih fokus kepada kes-kes ni sebelum meningkat di masa depan,” katanya. Salah satu sebab ibunya menubuhkan Rumah Kita adalah untuk mengurangkan bilangan bayi yang ditinggalkan dalam masyarakat.

Suraya bersetuju dan menambah, satu cara baik untuk menghalang masalah masa depan adalah dengan membantu wanita dan kanak-kanak menjadi ahli masyarakat yang produktif.

Menurut beliau, ramai gadis dan wanita di Rumah Kita bijak dan hanya memerlukan peluang kedua.

“Mereka terdidik tetapi terlalu lurus, mudah terpedaya,” katanya.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan