AM

JAIS Tubuh Pasukan Khas, Siasat Ajaran Sesat Di Selangor

13/09/2024 04:49 PM

SHAH ALAM, 13 Sept (Bernama) -- Pasukan siasatan khas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berhubung sekolah agama dan pusat pengajian agama di negeri ini yang terlibat dengan penyebaran ajaran sesat. 

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata penubuhan pasukan khas yang dipengerusikan Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad itu susulan pendedahan polis berhubung sebuah syarikat tempatan yang dipercayai mengeksploitasi kanak-kanak dan agama. 

Beliau berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menarik lesen operasi dan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pusat tahfiz atau sekolah agama yang didapati terlibat dengan unsur-unsur kesesatan demi menjamin keselamatan pelajar. 

"Pihak JAIS telah diarahkan dan sedang menjalankan pemantauan rapat, semakan dan saringan ke atas pusat tahfiz serta sekolah agama di negeri ini yang berdaftar dan belum berdaftar dengan JAIS.

"Kerajaan Selangor komited dalam memastikan keselamatan pusat tahfiz dan sekolah agama berkenaan daripada menjadi pusat eksploitasi kanak-kanak serta sebaran ajaran yang bercanggah dengan agama Islam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Beliau dalam kenyataan sama menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan sekolah agama atau pusat tahfiz yang mengamalkan perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam untuk melaporkan terus kepada JAIS. 

Rabu lepas, polis menerusi Op Global berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak daripada 20 rumah amal yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan