AM

MBSP Umum Kenaikan Cukai Taksiran Sehingga Lima Peratus Mulai Tahun Depan

13/09/2024 05:00 PM

BUKIT MERTAJAM, 13 Sept (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini mengumumkan akan menaikkan kadar cukai taksiran sehingga lima peratus, yang dinilai mengikut kategori hartanah berkuat kuasa 1 Jan 2025.

Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata kenaikan itu berdasarkan kadar cukai taksiran sedia ada, yang diguna pakai sejak 2020 dan akan tamat pada 31 Dis tahun ini selain peningkatan kos pengurusan di kawasan Seberang Perai.

Bagaimanapun, beliau berkata perubahan cukai taksiran itu hanya melibatkan 63 peratus atau 228,721 daripada keseluruhan 362,097 pegangan di Seberang Perai, manakala baki 133,376 lagi atau 37 peratus tidak terlibat dan kekal dengan kadar yang dibayar ketika ini.

“Kategori pegangan yang mengalami perubahan cukai taksiran hanya melibatkan kediaman pangsa dan bertanah, (tidak termasuk kos rendah dan kos sederhana rendah) dengan masing-masing sebanyak 41,988 dan 140,333 unit.

“Turut terlibat ialah pegangan jenis perdagangan sebanyak 29,527 unit, kilang dan kilang ringan dengan masing-masing 1,793 dan 4,999 unit, stesen minyak (154 unit) dan tanah pembangunan 9,927 unit," katanya pada sidang media di Menara MBSP di sini, hari ini.

Baderul Amin berkata kerajaan negeri telah memberi kelulusan kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu MBSP dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP), untuk menyemak semula senarai nilaian sedia ada seperti yang termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Beliau berkata pelaksanaan senarai nilaian baharu mulai tahun 2025 ini, bakal melibatkan pertambahan hasil cukai baharu dan akan digunakan bagi tujuan operasi pembersihan dan pelupusan sisa pepejal, penyelenggaraan jalan.

Selain itu, Baderul Amin berkata ia juga akan digunakan untuk menaik taraf dan penyelenggaraan kemudahan awam, penyelenggaraan dan pengindahan landskap, serta pelbagai lagi kemudahan lain kepada komuniti Seberang Perai.

Beliau berkata Senarai Nilaian Baharu 2025 itu dijangka dapat menjana tambahan hasil cukai MBSP sebanyak RM10.757 juta.

“Sebagai contoh 87.55 peratus daripada 41,988 unit  jenis kediaman pangsa selain daripada kos rendah dan sederhana rendah hanya perlu membayar sehingga RM20 kenaikan kadar penilaian, dengan baki daripadanya perlu membayar lebih RM20.

Baderul Amin berkata mana-mana pemilik hartanah yang tidak berpuas hati dengan kadar kenaikan cukai baharu, boleh membuat bantahan bertulis mengikut Seksyen 142 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada Datuk Bandar melalui laman sesawang MBSP bermula semalam hingga 14 Okt.

Beliau berkat semua bantahan yang diterima akan didengar oleh Jawatankuasa Bantahan Cukai (Penilaian semula) dan keputusan rayuan akan dimaklumkan selewat-lewatnya April tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan