AM

Pelbagai Aktiviti Menarik Sempena Pesta Kanowit 2024

13/09/2024 05:48 PM

SIBU, 13 Sept (Bernama) -- Majlis Daerah Kanowit (MDK) dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kanowit, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak akan menganjurkan Pesta Kanowit 2024 dari 20 hingga 22 Sept.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam satu kenyataan hari ini berkata pesta yang diadakan sejak 2003 itu selari dengan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ yang diperkenalkan kementerian sebagai pengisian utama program flagship KPN iaitu Kembara Perpaduan Malaysia MADANI.

Pesta Kanowit kali ini bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti Kanowit RC Boat Challenge, Fun Fair & Trade Fair, Kanowit Power Boat Race, Jualan Rahmah, pameran agensi, Majlis Perasmian Kanowit Waterfront dan Ratu Pesta Kanowit. 

Beliau berkata pesta itu bukan sahaja meraikan sejarah dan tradisi tetapi juga mengiktiraf pelbagai budaya serta sumbangan yang telah membentuk identiti rakyat Malaysia.

“Daripada tarian tradisional sehingga makanan tempatan yang lazat setiap, elemen pesta itu cerminan kekayaan budaya kita yang unik. Dengan menghargai kepelbagaian budaya, kita dapat memperkukuh perpaduan dan keamanan dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak untuk terus memupuk semangat menghargai dan memelihara warisan budaya mereka serta berusaha menjalani kehidupan dalam suasana harmoni dengan menerima serta menghormati kepelbagaian yang ada di sekeliling mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan