AM

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Serbu Klinik Perubatan, Pergigian Beroperasi Secara Haram

13/09/2024 06:41 PM

KUANTAN, 13 Sept (Bernama) -- Dua premis yang disyaki beroperasi sebagai klinik perubatan estetik dan klinik pergigian swasta tidak berdaftar di sini, diserbu Jabatan Kesihatan (JKN) Pahang kerana menjalankan operasi secara haram dan dikendalikan pengamal tidak bertauliah.

Pengarahnya Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata serbuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, hasil aduan awam dan risikan JKN sejak enam bulan lepas, mendapati kedua klinik haram itu dikendalikan dua wanita dipercayai pemilik dan seorang pekerja, kesemuanya lingkungan umur 20-an.

Beliau berkata klinik pergigian beroperasi di premis kediaman secara bersendirian manakala klinik perubatan estetik tidak berdaftar itu, beroperasi bersama seorang pekerja di sebuah lot kedai sejak dua tahun lepas.

“Dalam serbuan ini, kita rampas peralatan perubatan dan ubat-ubatan yang dianggarkan berjumlah RM50,000. Antaranya, ubat-ubatan larutan yang digunakan untuk titis, suntik di dahi, hidung dan siasatan mendapati ada ubat digunakan tidak berdaftar dan dipercayai dibeli secara dalam talian.

“Mereka dipercayai mempelajarinya menerusi media sosial dan ada yang mengambil kursus spa. Mereka mendaftarkan dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) sebagai pusat kecantikan serta mengiklankannya di TikTok, Facebook,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Operasi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta di pejabat JKN Pahang di sini hari ini. 

Dr Rusdi berkata rawatan yang ditawarkan tidak murah dan antaranya memasang pendakap gigi, venir, memutihkan gigi, rawatan perubatan estetik seperti suntikan dermal filler (suntikan isian) yang hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan bertauliah.

Beliau berkata buat masa ini tidak ada tangkapan atau sitaan premis, tetapi pihak JKN sedang menyiapkan kertas siasatan kedua-dua kes ini untuk dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat, untuk tindakan selanjutnya.

“Premis ini menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan dan pergigian yang boleh disifatkan sebagai sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang dikawal dan dikawal selia di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586], yang semua klinik perubatan atau pergigian swasta perlu didaftarkan di bawah Seksyen 27 akta sama.

“Manakala subseksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 [Akta 804] memperuntukkan larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan di bawah Akta 804,” katanya. 

Dr Rusdi berkata bagi kedua-dua kesalahan itu, jika disabitkan bersalah pihak terlibat berdepan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara  tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya untuk setiap kesalahan. 

“JKN Pahang memandang serius isu pengoperasian klinik haram dan amalan pergigian oleh individu tidak bertauliah yang boleh membawa impak memudaratkan kepada masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai iklan atau testimoni di laman sesawang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan