AM

Worldskills Lyon: Modul Lebih Mencabar, Tugasan Mengejut Menanti Peserta Pada Hari Ketiga

13/09/2024 07:30 PM

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

LYON, 13 Sept (Bernama) -- Modul lebih mencabar dan tugasan mengejut dijangka menjadi cabaran buat 15 belia Malaysia pada hari ketiga pertandingan WorldSkills (WSC 2024) di Eurexpo di sini.

Kesemua belia berkemahiran tinggi negara yang bertanding dalam 14 bidang kemahiran di WSC 2024 kali ini dilihat teliti melaksanakan tugasan ketika memasuki gelanggang pertandingan hari ini.

Malaysia mengambil bahagian dalam 14 kategori ini termasuk Integrasi Sistem Robot, Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan, Teknologi Kenderaan Berat dan Pembinaan Digital.

Strategi dan ilmu yang ditimba di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masing-masing ditagih untuk membolehkan segala tugasan dilaksanakan dengan baik. 

Ratusan pengunjung terdiri daripada pakar, belia dan pelajar menghadiri WSC 2024 bagi menyaksikan lebih 62 kategori kemahiran.

WSC 2024 yang berlangsung dari 10 hingga 15 Sept ini menghimpunkan 1,400 pesaing dari lebih 70 negara dan wilayah untuk berentap dalam 62 kategori kemahiran.

Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat pada pertandingan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa kerajaan menyediakan insentif khas wang tunai RM40,000 kepada peserta yang memenangi pingat emas.

Insentif itu sebagai tanda sokongan, galakan dan dorongan demi memburu kejayaan cemerlang pada WSC 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan