JENAYAH & MAHKAMAH

Tujuh Lelaki Ditahan Kes Bunuh Pekerja Kilang Warga Asing

13/09/2024 10:14 PM

KUANTAN, 13 Sept (Bernama) -- Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga tempatan bagi membantu siasatan berkaitan kes bunuh melibatkan seorang pekerja kilang warga Myanmar, di sebuah kilang di Bentong, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 27 hingga 39 tahun itu, ditahan di jalan Taman Chegar Medang, Bentong kira-kira 1.25 pagi ketika mereka cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan. 

Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai insiden itu kira-kira 11 malam dan hasil siasatan awal di aras dua asrama pekerja kilang itu, mendapati mangsa ditemukan mati dalam keadaan terbaring dengan kesan cedera di tubuh badan dipercayai ditikam menggunakan objek tajam.

“Bertindak atas maklumat, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan dan enam lagi warga asing senegara lebih kurang 1.25 pagi. Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63. Polis juga sedang menyiasat sama ada kesemua suspek ini merupakan rakan sekerja mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Yahaya berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk dibedah siasat. 

“Polis turut memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan