POLITIK

Syed Hussien Fokus Buat Terbaik, Coach Haizan Tumpu Sektor Sukan

14/09/2024 02:31 PM

KLUANG, 14 Sept (Bernama) -- Pesanan akhir arwah bapa supaya menjadi ‘yang terbaik untuk semua’ menjadi suntikan semangat kepada calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah untuk berusaha sebaiknya bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota. 

“Insya-Allah (pesanan) itu akan jadi satu suntikan semangat dan pesanan terakhir beliau merupakan antara semangat terakhir yang akan saya bekalkan. Insya-Allah saya akan cuba jadi yang terbaik untuk semua,” katanya. 

Syed Hussein yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata demikian kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon bagi PRK itu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini. 

Beliau  juga berterima kasih kepada pucuk pimpinan UMNO serta semua pihak yang memberi semangat serta sokongan kepadanya hari ini, seterusnya dijadikan motivasi untuk gerak kerja terbaik sepanjang tempoh berkempen. 

"Insya-Allah kami sedang fokus kepada gerak kerja dan akan buat yang terbaik. Alhamdulillah segala-galanya digerakkan Allah dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih pada pucuk pimpinan, negeri, bahagian dan semua rakan-rakan Friends of BN," katanya.  

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61, berhasrat menggunakan latar belakangnya dalam bidang sukan untuk memajukan bidang berkenaan di daerah ini selain menumpukan kepada aspek kebajikan komuniti setempat. 

Bekas pemain bola sepak Johor FA yang mesra dipanggil 'Coach Haizan' juga berterima kasih kepada pimpinan parti khususnya Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan terhadap beliau untuk mewakili parti pada PRK itu. 

"Insya-Allah, kalau dipilih saya akan bawa suara rakyat berkenaan apa-apa masalah yang dihadapi mereka di DUN ini dan saya juga  akan majukan sukan di daerah Kluang," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin pada sidang media di sini yakin Mohamad Haizan selaku anak jati Kluang memahami serta mendalami kehendak dan keperluan pengundi DUN Mahkota yang dapat membantu parti memperoleh kemenangan dalam PRK berkenaan. 

Berhubung manifesto PN, Muhyiddin berkata ia akan dikeluarkan dalam masa terdekat. 

PRK DUN Mahkota yang akan berlangsung pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PN, manakala hari undi awal telah ditetapkan pada 24 Sept. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan