AM

Op Global: 223 Pegawai JKM Bantu PDRM Uruskan Kanak-kanak - Nancy

14/09/2024 05:56 PM

KUCHING, 14 Sept (Bernama) -- Sejumlah 223 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkhidmat dalam membantu pihak polis menguruskan 402 kanak-kanak penghuni rumah perlindungan yang diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Global Rabu lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini merupakan kali pertama kementeriannya mengendalikan kes sedemikian di Malaysia.   

“Mereka (kanak-kanak) mungkin ada yang tidak pernah jalani pemeriksaan kesihatan, sebab itu kita gunakan kepakaran menjaga kanak-kanak untuk membantu PDRM menguruskan kanak-kanak kerana mereka (pegawai JKM) sudah terlatih untuk kendali anak autisme, misalnya.

“Prosedur undang-undang masih sama (seperti kes lain) cuma setahu kami, kes seperti ini tidak pernah berlaku… kami tiada maklumat terperinci, jadi perlu beri ruang kepada pihak polis jalankan siasatan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Advokasi Kasih Kanak-kanak di sini hari ini. 

Beliau berkata jumlah pegawai JKM adalah mencukupi dalam memberi pelbagai perkhidmatan termasuk kaunseling kepada kesemua kanak-kanak berusia antara satu dan 17 tahun yang terlibat disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan. 

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata saringan perubatan mendedahkan 13 daripada kanak-kanak yang diselamatkan disyaki telah diliwat selain 172 mempunyai kesan kecederaan fizikal lama serta membabitkan emosi.

Mengulas lanjut, Nancy berkata pihaknya mengutamakan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak terlibat di bawah jagaan pegawai JKM yang mempunyai kuasa mengikut peruntukan Akta Kanak-kanak 2001.

“Kita tidak akan nyatakan di mana lokasi sebenar kanak-kanak ini berada. Kita juga sudah dalam proses untuk dapatkan perintah mahkamah supaya hak jagaan diberikan kepada JKM,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, menteri berkenaan memberi jaminan bahawa kesemua kanak-kanak berada dalam perlindungan dan penjagaan yang sewajarnya agar mereka tenang, selesa dan rasa selamat.

Nancy berkata beliau tidak mengeluarkan kenyataan awal mengenai kes itu kerana tidak mahu mengganggu siasatan atau operasi PDRM. 

“Apa yang boleh saya kongsikan ialah KPWKM melalui JKM telah terlibat dari awal dalam operasi ini. Kanak-kanak yang diselamatkan itu kini berada di tempat selamat, di bawah jagaan JKM dan pengawasan PDRM,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan