AM

KPKM, Agrobank Lancar Skim Takaful Tanaman Padi Lindungi Pesawah

14/09/2024 09:08 PM

PUTRAJAYA, 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Agrobank melancarkan Skim Perlindungan Takaful Agromakanan: Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) pertama di Malaysia yang akan dimanfaatkan pesawah seluruh negara.

Diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, skim patuh syariah itu merupakan sebahagian daripada Belanjawan 2024, dengan dana permulaan RM50 juta bagi memberi perlindungan kepada pesawah.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam kenyataan berkata perlindungan takaful itu menawarkan hingga RM3,000 untuk bencana alam.

"Bagi serangga perosak dan penyakit tanaman pula, perlindungan hingga RM1,500 daripada jumlah perlindungan asal semusim per hektar bagi setiap pesawah. Ia jumlah yang lebih tinggi berbanding tabung bencana sedia ada,” katanya.

 Beliau berkata bagi tahun pertama pengenalannya, kerajaan menanggung sepenuhnya bayaran premium RM120 setahun bagi setiap hektar untuk dua musim penanaman manakala skim terbabit terbuka kepada semua pesawah individu di seluruh negara, dengan kaedah pendaftaran dipermudah di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan berhampiran.

Inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu pesawah seluruh negara ketika menghadapi bencana alam di samping memperkukuh rantaian makanan negara melalui inisiatif dilancarkan KPKM melalui Agrobank.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Skim Takaful Tanaman Padi, layari www.agrobank.com.my atau berkunjung ke cawangan Agrobank berdekatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan