AM

Jemaah Menteri Lulus Iktiraf SKM Tahap 6, 7 Dan 8 Setaraf Ijazah Pertama

14/09/2024 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Jemaah Menteri dua minggu lepas secara dasarnya telah meluluskan untuk mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi tahap 6, 7 dan 8 setaraf dengan Ijazah Pertama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh institusi tahfiz di negara ini.

Berucap pada Himpunan 24K Huffaz Malaysia di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata beliau menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 pelajar tahfiz mengikuti kursus berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjelang 2027.

“Dalam tempoh kurang dari dua tahun (pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim), dengan permulaan 17 maahad tahfiz (melaksanakan program TVET), sekarang terdapat 622 pelajar maahad tahfiz yang ikuti kursus TVET.

“Insya-Allah kalau peruntukan ditambah... azam saya menjelang 2027 sebanyak 10,000 pelajar maahad tahfiz akan kita (libatkan dalam) TVET di seluruh negara,” katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Perdana Menteri. 

Ahmad Zahid turut menyangkal dakwaan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh Perdana Menteri mengabaikan urusan agama Islam di dalam pentadbirannya.

Sepanjang hampir dua tahun Perdana Menteri mentadbir Kerajaan MADANI, Ahmad Zahid berkata usaha untuk memartabatkan agama Islam sentiasa menjadi keutamaan Anwar.

"Saya melihat sendiri dan saya saksi hidup, keutamaan beliau adalah untuk terus mensyumulkan agama Islam tanpa ketepi agama lain. Inilah pegangan akidah yang beliau utamakan untuk kesyumulan agama kita," katanya.

Majlis Himpunan 24K Huffaz mengumpulkan lebih 24,000 huffaz dari seluruh negara antaranya terdiri daripada pelajar dan guru tahfiz serta alim ulama dari 1,500 madrasah tahfiz al-Quran yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA).

Himpunan berkenaan dicetuskan semula Ahmad Zahid yang mahu meletakkan agenda pengislahan generasi masa hadapan dengan mengutamakan pendidikan al-Quran sebagai asas penting.

Objektif lain Himpunan 24K Huffaz yang bertemakan ‘Huffaz Tonggak Modal Insan Negara’ itu bagi memartabatkan al-Quran, mengukuhkan silaturahim, mendidik, menginspirasi serta memperkasakan generasi berasaskan nilai-nilai al-Quran untuk manfaat sosial masyarakat dan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan