EKONOMI

Setiausaha Syarikat Perlu Berani Bertindak, Tegakkan Integriti - Presiden MAICSA

15/09/2024 10:35 AM

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Tanggungjawab setiausaha syarikat tidak lagi terikat dengan tugasan pentadbiran semata-mata, sebaliknya peranan mereka turut melalui anjakan serta transformasi sejak beberapa tahun lepas.

Presiden Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) Datuk Akbar Moidunny berkata setiausaha syarikat kini berkhidmat sebagai penasihat korporat dalam memberi panduan kepada lembaga pengarah mengenai urusan undang-undang, pengawalseliaan dan tadbir urus.

Mereka juga berperanan sebagai ‘penjaga’ tadbir urus korporat, memberi nasihat mengenai aspek pematuhan undang-undang, mengurus potensi risiko selain memastikan lembaga pengarah mengambil keputusan yang sejajar dengan perlembagaan serta kerangka undang-undang syarikat.

“Sehubungan itu, amat penting bagi setiausaha syarikat ini untuk menegakkan integriti selain kekal berpengetahuan.

“Apa yang paling utama, mereka juga perlu berani bersuara tanpa rasa takut atau pilih kasih walaupun ini bermakna berdiri teguh (atas pendirian) apabila berdepan lembaga pengarah atau pengurusan," katanya dalam wawancara dengan Bernama, baru-baru ini.

Mengulas selanjutnya, Akbar berkata setiausaha syarikat juga berperanan penting dalam merekodkan keputusan lembaga pengarah dan penyimpanan rekod secara menyeluruh yang menjadi bukti penting sekiranya timbul sebarang pertikaian atau isu undang-undang.

"Penyimpanan rekod yang tepat adalah penting. Apabila setiausaha syarikat merekodkan nasihat mereka dan keputusan lembaga pengarah, ini juga bermakna bahawa mereka sebenarnya melindungi diri sendiri daripada terpalit dengan sebarang salah laku.

"Rekod ini adalah perlindungan bagi mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setiausaha syarikat juga diwajibkan untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berlaku dalam organisasi seperti digariskan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, walaupun berdepan cabaran kemungkinan berlakunya salah laku, setiausaha syarikat juga dilindungi secara sah sekiranya terbukti bertindak mengikut ketetapan undang-undang.

"Undang-undang melindungi setiausaha syarikat apabila mereka mengambil langkah sewajarnya dalam memberi nasihat terhadap penyelewengan. Tindakan melaporkan salah laku bukan setakat satu  kewajipan undang-undang tetapi juga tanggungjawab etika," kata Akbar.

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan untuk mempunyai prosedur yang mencukupi bagi mencegah sebarang tindakan salah laku dalam organisasi.

Sejajar dengan peningkatan kerumitan aspek tadbir urus di sektor awam dan swasta, permintaan untuk setiausaha syarikat yang mahir dan cekap juga terbukti meningkat dengan ketara.

Permintaan itu, katanya, terbukti dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyaksikan mereka mengharapkan setiausaha syarikat bagi mendapatkan garis panduan mengenai tadbir urus serta pematuhan.

MAICSA yang ditubuhkan pada 1959 dan dianggotai 4,200 ahli pada masa ini, juga kekal komited terhadap usaha menyokong pembangunan profesional setiausaha syarikat di Malaysia.

Institut itu menawarkan pelbagai program selain berusaha memastikan ahlinya mempunyai kemahiran bagi memenuhi permintaan tadbir urus moden.

Sementara itu, Presiden Persatuan Antarabangsa Setiausaha Korporat (CSIA) Datuk Suseela Menon tidak terkecuali mengharumkan nama negara menerusi usaha memperkasa wanita di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

Peranannya sebagai presiden organisasi itu menekankan impak global serta kepimpinan wanita Malaysia dan memaparkan keupayaan mereka yang melangkaui batasan sempadan negara.

Seiring peranan sebagai suara global setiausaha korporat dan profesional tadbir urus, CSIA yang ditubuhkan di Geneva dan dilancarkan di Paris pada Mac 2010, adalah di bawah naungan Perbadanan Kewangan Antarabangsa serta Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Berkongsi pandangannya, Suseela menegaskan usaha melonjakkan pemerkasaan wanita perlu bermula di peringkat tertinggi dengan kalangan lembaga pengarah serta ketua pegawai eksekutif menjadi penggeraknya.

Aspek itu turut merangkumi komitmen berkaitan gaji serta peluang saksama untuk wanita.

"Latihan merupakan perkara penting dalam perjalanan ini. Walaupun banyak wanita mempunyai kelayakan tinggi serta sedia untuk memajukan diri, mereka juga perlu sentiasa refleksi diri, mengenal pasti bidang bagi tujuan kemajuan serta terus berusaha bagi meningkatkan kemampuan diri," katanya kepada Bernama.

Atas alasan itu, beliau menekankan peranan MAICSA dalam penyediaan program kepimpinan khusus bagi memperkasa dan membangunkan generasi setiausaha syarikat akan datang selain turut memupuk pertumbuhan dan potensi diri.

Suseela yang juga bekas presiden dan ahli majlis MAICSA, pernah menggalas tugas sebagai pengarah eksekutif wanita pertama UMW Group iaitu tempat beliau berkhidmat selama 30 tahun serta menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat dalam kumpulan, termasuk Perodua.

“Tidak dinafikan wujud keperluan menggalakkan wanita untuk menumpukan usaha membangunkan jaringan dan hubungan perniagaan selain waktu kerja anjal. Ini dapat memberi manfaat kepada wanita yang menggalas dua peranan serentak sebagai pekerja profesional dan urusan rumah tangga,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan