AM

RM50 Juta Untuk Projek Selesai Masalah Banjir Di Bayan Baru

15/09/2024 03:44 PM

GEORGE TOWN, 15 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukan sebanyak RM50 juta untuk menjalankan beberapa projek bagi penyelesaian jangka masa pendek dan panjang bagi masalah banjir yang melanda kawasan Bayan Baru.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Zairil Khir Johari berkata pihaknya kekal komited dalam menangani isu berkenaan.

"Susulan insiden banjir kilat yang berlaku di kawasan Bayan Baru baru-baru ini, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah mengambil langkah untuk mengenal pasti punca-punca utama kejadian banjir di kawasan itu.

"Antara punca-punca telah dikenal pasti oleh JPS Pulau Pinang termasuklah kejadian hujan sangat lebat melebihi 65mm di kawasan setempat menyebabkan paras air di dalam parit meningkat secara mendadak, kapasiti parit sedia ada tidak mampu menampung jumlah hujan yang tinggi, ketidaklancaran aliran air dari parit dalaman ke Rumah Pam Bayan Baru serta pertembungan fenomena air laut pasang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi projek penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan risiko banjir di Bayan Baru dan kawasan sekitarnya, sebanyak RM300,000.00 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan segera di beberapa kawasan yang dikenal pasti termasuk Sungai Relau, Parit MOX, Muka Sauk Rumah Pam Taman Iping 1, Muara Permatang Damar Laut, parit konkrit Taman Melati dan Parit Cabang Sungai Nibong.  

Kerajaan negeri juga akan membelanjakan sebanyak RM365,000.00 untuk melaksanakan beberapa langkah penyelesaian jangka pendek seperti pemasangan dua unit pam bergerak bersaiz 280 liter sesaat (l/s) di takungan berhampiran Sungai Relau bagi membantu mempercepatkan pengaliran air dari saliran utama di kawasan pembangunan sekitar Jalan Persiaran Mahsuri ke Sungai Relau, tambah beliau.

Selain itu, Zairil berkata pelaksanaan kerja memasang tiga struktur kawalan bagi melencongkan dan melancarkan pengaliran air dari kawasan pembangunan sekitar Jalan Persiaran Mahsuri ke Sungai Relau juga akan dijalankan.

"Ia membabitkan pemasangan satu unit pam hidraulik bergerak 280 l/s dan satu unit pam siaga sendiri mudah alih (150 l/s) di Rumah Pam Taman Iping 1 untuk menyokong operasi pam skru di Taman Iping dan pelaksanaan program pemuliharaan Sungai Nibong serta Sungai Nipah," katanya.

Beliau berkata bagi jangka masa panjang pula, kerajaan negeri telah merancang beberapa projek tebatan banjir dengan anggaran kos sebanyak RM48.1 juta yang kini sedang berada dalam peringkat pelaksanaan.

Ini membabitkan pembinaan kolam takungan di Taman Kejiranan Lintang Nibong di bawah Program Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang (PNBCAP) membabitkan kos RM5.1 juta yang dijangka bermula November nanti, kata beliau.

"Seterusnya Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bayan Baru Fasa 2 melibatkan anggaran kos RM10 juta dengan tender dijangka pada Disember nanti,  tender RTB Parit MOX pada Februari 2025 (kos RM5 juta) dan  tender RTB Sungai Tiram iaitu pada April 2025 dengan kos RM10 juta," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan