AM

Darah Satria Mendiang Bapa Mengalir Dalam Badan Indiran

15/09/2024 03:53 PM

PORT DICKSON, 15 Sept (Bernama) -- Tragedi pahit kehilangan bapa tersayang bukan penghalang perajurit muda K. Indiran bergelar tentera dengan mengikut jejak bapanya Mejar C. Kayamboo iaitu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang meninggal dunia dalam nahas pesawat pada 2016.

Pemuda berusia 20 tahun itu antara 1,144 perajurit muda berjaya menamatkan sesi latihan Perajurit Muda Tentera Darat Siri 200/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) hari ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata kehilangan bapanya seawal usia 12 tahun mengajar dirinya menjadi seorang anak yang matang selain cekal memikul tanggungjawab menjaga keluarga. 

“Saya pernah berniat untuk berhenti (ketika jalani latihan), ia sangat mencabar tetapi saya kuatkan diri, saya mahu sertai ATM demi keluarga dan menjadi seorang perwira seperti ayah saya. 

“Saya masih teringat pesan ayah, jangan fikir kata-kata orang lain...berusaha lakukan apa yang saya mahu. Saya sebenarnya mahu menjadi tentera udara seperti bapa, tetapi tidak cukup kelayakan, jadi saya sertai tentera darat, masih uniform yang sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau juga berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk menjadi seorang pegawai tentera seperti bapanya selain memasang impian menyertai Pasukan Udara Tentera Darat.

Sementara itu, ibunya S. Usha, 50, berkata dia sekeluarga berbangga anak sulungnya itu kini bergelar seorang anggota tentera walaupun pernah melalui pengalaman pahit kehilangan suami tercinta.

Ibu tunggal itu berkata walaupun lapan tahun telah berlalu, kasih sayang suami merupakan pembakar semangat untuk empat cahaya matanya berjaya. 

“Memang sukar terima kehilangan suami ketika sedang membesarkan anak-anak yang masih kecil, syukur keluarga banyak membantu kami menjadi lebih kuat, saya memang galakan anak untuk menjadi tentera seperti bapanya, seorang berprinsip dan berjuang untuk negara,” katanya.

Usha mahu anak-anaknya menjadi seorang yang bertanggungjawab bukan sahaja kepada keluarga tetapi memberikan khidmat dan kesetiaan kepada negara.

Mendiang Kayamboo dilaporkan meninggal dunia akibat nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang sebelum terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 2016. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan