AM

Penduduk Kampung Mondikot Gembira Capaian Internet Mudah Menerusi Starlink

15/09/2024 04:31 PM

PAPAR, 15 Sept (Bernama) -- Penduduk Kampung Mondikot, di sini menzahirkan perasaan gembira kerana kini mereka boleh menikmati capaian internet berkelajuan tinggi disediakan secara percuma menerusi pemasangan sistem satelit Starlink sejak Jun lepas.

Sistem dipasang menerusi pembuktian konsep (POC) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan REDtone itu mempunyai kelajuan sehingga 250mbps dengan kadar liputan sekitar 150 meter dari lokasi pemasangan dan penduduk kampung boleh menggunakannya sepanjang masa.

Seorang penduduk kampung Angellisa Mary Sobiting, 21, yang juga pembantu jurujual berkata mereka sudah lama menantikan perkhidmatan capaian internet efisien, justeru, pemasangan sistem Starlink memberi banyak kemudahan termasuk mencari maklumat berita secara dalam talian dan melayari laman sosial.

"Sekarang saya sudah boleh mengakses internet dari rumah sahaja kerana liputan internet (disediakan menerusi sistem Starlink) boleh sampai ke rumah. Sebelum ini kalau mahu menggunakan internet, adakalanya sehingga terpaksa pergi ke pekan (Papar)," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meninjau POC Starlink di kampung itu yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau Datuk Juil Nuatim dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Petani Tinus Guntalib, 64, berkata, dia bersyukur dengan adanya kemudahan internet itu kerana ia dapat memudahkan urusan yang perlu diselesaikan secara dalam talian termasuk dalam hal-hal rasmi dan berkaitan urus niaga hasil pertanian.

"Lagi satu, apabila ada internet, anak-anak boleh belajar secara dalam talian di rumah. Memasarkan hasil pertanian juga lebih senang," katanya.

Pendapat sama turut disuarakan oleh peniaga makanan Esther Kerintun, 36, yang melihat kemudahan capaian internet berkelajuan tinggi itu mampu dijadikan platform untuk mempromosikan lokasi pelancongan terdapat di Kampung Mondikot serta produk kraftangan diusahakan penduduk secara dalam talian.

Sementara itu, Juil turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi atas keprihatinan memasang sistem Starlink bagi membolehkan kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Mondikot menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi secara percuma.

Dengan adanya capaian internet ditambah pula kemudahan jalan raya yang telah dinaik taraf, penduduk kampung bukan sahaja boleh mempromosi keindahan alam semula jadi di kampung itu tetapi juga memasarkan hasil pertanian sehingga ke luar kawasan, kata beliau.

"Dulu agak sukar, tetapi sekarang dengan adanya segala kemudahan ini boleh membantu meningkatkan lagi pendapatan penduduk kampung," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan