AM

Penularan Budaya Asing Jadikan Seni Budaya Melayu Semakin Terpinggir

15/09/2024 08:26 PM

KUALA KANGSAR, 15 Sept (Bernama) -- Gelombang budaya semasa yang semakin kompetitif dengan penularan budaya asing menjadikan kesenian dan kebudayaan Melayu kadangkala semakin terpinggir, terutama dalam kalangan generasi muda.

Yang Dipertua Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Datin Shahnoor Zahurin Mohd Haslan Myudin berkata semua pihak perlu bersama-sama bertanggungjawab memelihara, memulihara serta memartabatkan seni budaya dan warisan supaya generasi muda tidak mengutamakan atau memilih budaya luar sebagai elemen hiburan mereka.

"Sebagai langkah penting yang perlu kita ambil bagi memastikan seni dan budaya kita ini kekal relevan sepanjang zaman, maka kena ada usaha untuk dikembangkan kepada generasi yang mendatang.

"Sebagai contoh, subjek kesenian dan kebudayaan mesti diperkasakan di peringkat sekolah rendah sebagai aktiviti kokurikulum kepada murid supaya mewujudkan jati diri dalam kalangan generasi muda," katanya dalam sembah ucapan sempena majlis perasmian penutup Citra Warisan Diraja Negeri Perak 2024 di Laman Budaya di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah. Turut berkenan berangkat Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim serta Pengerusi Tourism Perak Datuk Mohamad Kamil Shafie.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan