AM

Rombak Dasar Pendidikan, Lihat Semula Peperiksaan Tahun 6, Tingkatan 3 - Ahmad Zahid

15/09/2024 08:58 PM

SHAH ALAM, 15 Sept (Bernama) -- Dasar pendidikan negara yang ketika ini tidak melaksanakan peperiksaan bagi Tahun 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah perlu dirombak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia selepas mendapati keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) tahun lepas, berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3M).

Ahmad Zahid berkata dapatan itu, diperoleh hasil perbincangan bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, sebelum ini.

Ekoran itu, wajib dasar pendidikan yang tidak ada peperiksaan untuk Darjah 6 (di sekolah rendah) dan Tingkatan 3 (sekolah menengah) dan hanya ada (peperiksaan) Tingkatan 5 mesti dirombak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun 6 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) diumum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022 oleh Menteri Kanan Pendidikan ketika itu Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, dan digantikan dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul, manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ahmad Zahid berkata seharusnya dasar pendidikan kekal dan tidak berubah walaupun berlaku pertukaran kerajaan dan kepimpinan, supaya pelajar dan anak murid tidak dijadikan sebagai bahan uji kaji.

“Biar kerajaan dan pemimpin bertukar tetapi dasar pendidikan kebangsaan mestilah dibuat agar anak kita tidak menjadi mangsa,” katanya.

Terdahulu, Vigneswaran dalam ucapannya memohon kerajaan untuk mencari jalan bagi memulihkan semula imej sistem pendidikan negara, susulan ramai pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi.

Beliau berkata isu keciciran pelajar yang tidak mendaftar dan menduduki SPM, turut mencetuskan kebimbangan, dalam usaha negara berinspirasi mencapai status negara maju, katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan bersetuju memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan RM200 juta bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada dua Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Beliau berkata peruntukan itu melibatkan Kolej TAFE serta Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) berdasarkan keperluan.

"Saya akan gunakan sebahagian (peruntukan) yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun ini (untuk program TVET di dua IPT itu)," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata kerajaan meluluskan peruntukan segera RM200 juta bagi memperkasa dan meningkatkan penyertaaan belia menceburi bidang TVET.

Anwar berkata peruntukan tambahan yang akan disalurkan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) itu antara lain bertujuan menggalakkan institusi TVET membangun dan memperkasa program latihan seiring keperluan semasa pihak industri.

Terdahulu,Vigneswaran dalam ucapannya memohon dilaksanakan program serta aktiviti khas untuk 1,000 belia India yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET melalui Kolej TAFE.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan