POLITIK

Tiada Keputusan Tangguh Pemilihan PKR Selepas PRU16 - Fuziah

16/09/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Tiada sebarang keputusan berhubung penangguhan pemilihan PKR selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), semalam.

Setiausaha Agung PKR yang baharu Fuziah Salleh berkata walaupun terdapat perbincangan serta pandangan yang dilontarkan dalam mesyuarat itu mengenai perkara berkenaan, namun ia hanya merupakan perbincangan dan tiada keputusan tuntas yang dicapai.

“Mesyuarat berpendapat perlu lebih banyak libat urus diadakan di semua peringkat kepimpinan parti sebelum satu-satu keputusan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian bagi merujuk kepada artikel yang disiarkan Malaysiakini bertajuk “PKR tangguh pemilihan parti selepas PRU16 - Sumber.

Menurut Fuziah, beliau telah dihubungi oleh portal berkenaan semalam dan menafikan bahawa keputusan sedemikian telah dibuat.

Semalam, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan berkata Fuziah dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR baharu berkuat kuasa serta merta bagi menggantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang melepaskan jawatan itu untuk menumpukan usaha sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), anggota Biro Politik PKR dan Ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan