AM

KUSKOP Sasar Pelaburan RM80 Juta Pada MIHAS 2024

17/09/2024 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM80 juta melalui penyertaan 26 syarikat halal dan 14 syarikat francais jenama tempatan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata jumlah itu membabitkan sasaran nilai jualan RM30 juta bagi produk industri halal dan RM50 juta bagi produk industri francais.

“MIHAS tahun lepas, KUSKOP memperoleh keseluruhan nilai jualan sebanyak RM20 juta menerusi produk industri halal.

“Kita harap (kali ini) akan lebih ramai pemain industri, syarikat serta pempamer mengadakan perbincangan dan memeterai MoU (perjanjian persefahaman) bersama kami sepanjang tempoh tiga hari lagi penganjuran MIHAS kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pavilion KUSKOP MIHAS dan menyaksikan empat Perjanjian Persefahaman (MoU) membabitkan syarikat usahawan halal tempatan bersama rakan niaga dalam dan luar negara di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Beliau berkata penyertaan KUSKOP kali ini bersama usahawan tempatan di MIHAS adalah bukti komitmen kerajaan dalam mempromosikan usahawan tempatan ke peringkat global.

“Kami yakin peluang ini akan memberi manfaat besar kepada usahawan Malaysia untuk memperluaskan jaringan perniagaan mereka, terutama melalui peningkatan kerjasama strategik dengan pelabur antarabangsa,” katanya.

Ewon turut berharap penyertaan kali ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak peluang untuk usahawan tempatan meningkatkan daya saing di peringkat global. 

"Saya berharap usahawan kita dapat mengambil peluang termasuklah memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa, malah juga untuk membina rangkaian lebih kukuh dan strategik dengan pelabur serta rakan niaga dari seluruh dunia,” katanya.

MIHAS 2024 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berlangsung bermula hari ini hingga 20 Sept.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan