AM

Hampir 200 Lokasi Pokok Tumbang, 71 Kawasan Banjir Kilat Di P. Pinang

17/09/2024 06:19 PM

GEORGE TOWN, 17 Sept (Bernama) -- Hampir 200 laporan pokok tumbang direkodkan di seluruh Pulau Pinang sejak Ahad lepas ekoran hujan lebat dan angin kencang yang turut menyebabkan beberapa rumah dan kenderaan rosak di sembilan lokasi di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata negeri itu turut mencatatkan taburan hujan sebanyak 110 milimeter (mm) hari ini hingga menyebabkan banjir kilat di 71 lokasi di tanah besar iaitu 43 kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan 28 tempat di Seberang Perai Selatan (SPS).

"Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut di negeri ini hingga esok. Sejak Ahad lepas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima 133 laporan pokok tumbang di bahagian pulau.

"Pada Ahad juga, pokok tumbang dilaporkan di 90 lokasi yang menjejaskan beberapa rumah di tiga lokasi dan melibatkan lapan kenderaan di enam tempat manakala pada Isnin pula pokok tumbang dilaporkan di sembilan lokasi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Chow berkata setakat 12 tengah hari tadi, MBPP menerima laporan mengenai pokok tumbang di 43 lokasi manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima 30 aduan pokok tumbang dan kedua-dua pihak berkuasa tempatan itu giat melakukan kerja-kerja pembersihan demi keselamatan serta kesejahteraan orang ramai.

Mengenai banjir kilat, Chow berkata setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan atau pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka, sambil menambah MBSP serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS negeri) sedang memantau situasi itu dengan lebih dekat. 

"Saya mohon penduduk atau pelancong jika berlaku ribut elak daripada berada di jalan raya kerana kemungkinan berlaku pokok tumbang, jaga keselamatan diri supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya sambil mengingatkan orang ramai amaran oleh MetMalaysia masih aktif hingga esok. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota Wong Yuee Harng yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata beberapa jeti di kawasan Jeti Klan di sini rosak selepas dipukul ombak kuat.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10 pagi ini daripada ketua klan di situ dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah digerakkan bagi memberi bantuan segera untuk membaiki jeti yang rosak.

"...saya terima maklumat yang jeti di Jeti Chew, Jeti Chan dan Jeti Lim rosak berikutan paras air laut naik, ombak telah menghentam papan jeti di situ. Kami telah bersiap sedia untuk membantu membaikinya kerana jeti tersebut merupakan laluan ke rumah penduduk," katanya.

Dalam hantaran di Facebook, ADUN Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz pula memaklumkan air pasang besar hingga paras air laut naik ke daratan dan ombak besar berlaku di Pantai Teluk Bayu di sini.

Berikutan itu, beliau berkata sebarang aktiviti pantai amat berbahaya dan tidak dibenarkan kepada orang ramai malah penempatan aktiviti nelayan turut terjejas hingga mereka terpaksa mengalihkan peralatan tangkapan ikan.

"Orang ramai diminta bersabar dan tidak mengunjungi pantai di situ berikutan ribut, hujan dan cuaca tidak menentu sekarang ini," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan