EKONOMI

MIHAS 2024: 18 Syarikat Sertai Pavilion Taiwan Pamer Produk Miliki Sijil Halal

17/09/2024 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) mempamerkan produk mesra halal daripada 18 syarikat dari Taiwan di Pavilion Taiwan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2024), yang diadakan dari 17-20 Sept 2024.

 Sebanyak 60 produk terdiri daripada makanan dan barangan kecantikan hingga detergen dipamerkan di astaka itu, memperlihatkan peningkatan penyertaan Taiwan dalam pasaran halal global.

Jurucakap TAITRA berkata Taiwan mencapai kemajuan ketara dalam memajukan pasaran halalnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pencapaian itu dapat dilihat apabila ia menduduki tempat ketiga dalam Indeks Perjalanan Muslim Global 2024 untuk destinasi bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mencerminkan peningkatan daya tarikannya kepada pengembara Islam.

"Sejak penubuhan Pusat Halal Taiwan lapan tahun lepas, perniagaan yang disahkan halal melonjak daripada 700 kepada lebih 1,000.

"Terdapat lebih 20,000 produk yang disahkan halal dari Taiwan, dengan 80 peratus daripadanya mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya kepada pemberita ketika lawatan ke astaka itu hari ini.

Antara produk yang dipamerkan ialah teh buah kundur Forever Sweety; rangkaian pes Fufann yang meningkatkan rasa pelbagai hidangan; dan minyak biji teh Meishan yang sesuai untuk penyediaan hidangan Timur dan Barat.

Selain itu, produk enzim Be Rich Biotechnology serta makanan laut sejuk beku berkualiti tinggi dan makanan siap dimakan Land Young, jenama yang berada lebih 40 tahun dalam pasaran Taiwan turut dipamerkan di pavilion berkenaan.

Pihak yang berminat untuk menghubungi syarikat halal Taiwan boleh hubungi pejabat Pusat Dagangan Taiwan Kuala Lumpur atau Pusat Halal Taiwan.

MIHAS, pameran halal terbesar dunia dan platform perniagaan nombor satu industri halal sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan