EKONOMI

Gamuda Dijangka Serta Konstituen FBM KLCI Gantikan Genting Malaysia - MIDF Amanah

17/09/2024 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Gamuda Bhd dijangka disenaraikan sebagai satu daripada konstituen di FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menggantikan Genting Malaysia Bhd pada 23 Dis 2024, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu berkata selepas dua tahun (semakan separa tahunan lima kali berturut-turut) berada dalam senarai simpanan FBM KLCI, "Gamuda akan dinaikkan kepada indeks barometer."

“Sejak semakan pada 24 Jun, harga sahamnya meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM7.59 pada 13 Sept 2024, menduduki tempat ke-24 berdasarkan permodalan pasaran. Sekiranya ia kekal di tempat ke-25 dan ke atas menjelang tarikh akhir, Gamuda hampir pasti disenaraikan ke dalam indeks itu," katanya.

MIDF Amanah juga menganggap Genting Malaysia mungkin akan dikeluarkan daripada senarai itu, berikutan sehingga Jumaat (lepas) ia turun ke tempat ke-36 dari segi permodalan pasaran.

“Jika ia kekal pada kedudukan tersebut menjelang tarikh akhir semakan akan datang, mengikut peraturan asas ia perlu dikeluarkan daripada indeks, dan ini akan memberi laluan kepada kemasukan Gamuda,” katanya.

MIDF Amanah berkata semakan separuh tahunan FBM KLCI dijadualkan pada 23 Dis 2024, berdasarkan data daripada tarikh akhir semakan pada 25 Nov 2024.

“Walaupun masih berbaki dua bulan lagi, kami berpendapat adalah penting untuk memantau kemungkinan perubahan dalam kalangan saham mewah sejak tarikh akhir semakan sebelum ini pada 27 Mei, 2024,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan