EKONOMI

Perak Teroka Pasaran Halal Global - Menteri Besar

17/09/2024 09:13 PM

IPOH, 17 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) hari ini memeterai perjanjian usaha sama dengan  pengeluar produk gelatin halal terkemuka dunia, Leiner Gelatine Sdn Bhd.

Perjanjian itu dimeterai antara Leiner Gelatine Sdn Bhd yang merupakan syarikat Leiner Pak Gelatine Ltd dari Pakistan dengan anak syarikat Perak SADC iaitu Ladang Lekir Sdn Bhd dalam usaha menjadikan Perak sebagai pemain utama pengeluaran produk halal khususnya industri gelatin.

Industri gelatin ketika ini hanya mewakili sekitar tujuh peratus daripada pengeluaran produk halal dunia.

Perak SADC dalam kenyataan hari ini berkata menerusi usaha sama strategik itu, kedua-dua pihak bekerjasama membangunkan industri gelatin halal dengan sasaran meningkatkan peratusan penggunaan dan pasaran gelatin halal di Malaysia serta global sekali gus meletakkan Perak sebagai pemain utama industri gelatin halal global.

Perbadanan itu memberitahu inisiatif berkenaan berlangsung dalam satu majlis pertukaran perjanjian usaha sama sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Halal Malaysia 2024 (MIHAS 2024) yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Pada majlis tersebut, Ladang Lekir Sdn Bhd diwakili Pengerusinya Ahmad Yani Aminuddin manakala Leiner Gelatine Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Khawaja Ahmed Hassan.

Majlis pertukaran perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, Saarani yang juga Pengerusi Perak SADC dalam kenyataan sama berkata pasaran global gelatin mencatatkan nilai US$3.7 bilion (RM15.91 bilion) pada 2023 dan dijangka berkembang pada kadar tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.6 peratus dari 2023 hingga 2028.

“Daripada jumlah ini, hanya kira-kira tujuh peratus merupakan gelatin halal. Dengan potensi besar industri ini di peringkat global, Perak melalui SADC mahu mengorak langkah untuk menjadi pemain utama dalam industri strategik ini.

“Di Malaysia, import gelatin halal mencecah 2,800 tan metrik setahun, bernilai kira-kira RM130 juta di mana 30.8 peratus daripadanya atau RM40 juta datangnya dari Pakistan," katanya.

Gelatin sebagai bahan semula jadi dihasilkan daripada rangkaian kolagen haiwan seperti lembu, kerbau, dan ikan memainkan peranan penting dalam pelbagai industri.

Dalam industri makanan, gelatin berfungsi sebagai agen penstabil dalam produk daging, agen pemekat dalam makanan bersos, agen pembuih dalam produk susu dan agen pelembut dalam produk bakeri dan aiskrim.

Selain itu, gelatin juga digunakan dalam industri farmaseutikal, pembuatan kosmetik dan fotografi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan