KLUANG, 17 Sept (Bernama) -- Enggan menabur janji bulan dan bintang, calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah sebaliknya berazam ingin terus mengekalkan semangat kekeluargaan yang dinikmati penduduk di kawasan itu.
Penduduk DUN Mahkota sememangnya ibarat keluarga besar Syed Hussein, 40, kerana keluarganya dikenali ramai sehingga beliau sendiri tidak menyangka akan menerima sambutan amat baik daripada pelbagai lapisan masyarakat di setiap lokasi yang dikunjungi.
"Saya selesa bersama mereka. Kami akan kekalkan sifat kekeluargaan ini. Semua lapisan masyarakat di sini tanpa mengira bangsa dan agama mempunyai ruang untuk menceritakan permasalahan mereka kepada saya.
"Saya bukan asing kepada mereka kerana di sini juga antara tempat terawal yang saya lawati selepas menjadi Ahli Majlis Perbandaran Kluang," katanya selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama komuniti India di Balai Raya Kampung Padang Tembak di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor K. Raven Kumar berkata MIC akan mempergiat kempen turun padang untuk bertemu seramai mungkin pengundi India bagi meraih sokongan kepada Syed Hussien.
Berdasarkan statistik, lapan peratus daripada 66,318 pemilih berdaftar di DUN Mahkota terdiri daripada pengundi India dan Raven Kumar berkata penerimaan mereka terhadap Syed Hussien setakat ini adalah positif.
"Mereka sudah kenal Syed Hussien malah ada yang mengenali ayah dan datuk beliau. Keluarga beliau memang warga Kluang.
"Itu yang memudahkan penerimaan orang dan melancarkan perjalanan kempen bersama komuniti setempat," katanya.
PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial