EKONOMI

Sedekad Di Malaysia, Al'ard Sumbang RM50 Juta Ke Palestin

18/09/2024 08:58 AM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Jenama produk kesihatan berasaskan minyak zaitun Palestin,  Al'Ard mencipta sejarah dengan menghantar sebanyak RM50 juta ke Palestin ketika tempoh 10 tahun ia beroperasi di Malaysia.

Pemilik dan Pengarah Al'Ard Palestinian Agri-Products Ltd yang berpangkalan di Nablus, Palestin, Ziad Anabtawi berkata syarikat itu menghargai sokongan rakyat Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin dengan membeli produk Al'Ard, yang dihasilkan oleh petani dan pekerja di Palestin.

“Kami yakin RM50 juta ini hanya permulaan kepada kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. Pembukaan pejabat serantau kami di Malaysia adalah bukti keyakinan kami bahawa rakan kongsi kami di sini akan menjadikan Al'Ard sebagai penggiat utama pasaran minyak zaitun di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian tahun ke-10 Al-Ard di Malaysia, di Pavilion Alard Far East Sdn Bhd bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di sini hari ini.

Menurutnya semangat rakyat Palestin terus teguh, dan perniagaan adalah cara untuk mereka meneruskan perjuangan menentang rejim Zionis.

Timbalan Pengarah Al'Ard, Subhi Anabtawi berkata, sokongan teguh daripada Kedutaan Palestin di Malaysia dan dorongan rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin telah menjadi kunci kepada pertumbuhan Al'Ard sepanjang operasi sedekadnya di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Al'Ard Far East Sdn Bhd Nazran Abd Mutalib berkata Al'Ard akan terus berkongsi manfaat kesihatan produk minyak zaitun organik dari Palestin kepada rakyat Malaysia.

"Cogan kata kami adalah 'Help Yourself, Help Palestine.' (Bantu Diri, Bantu Palestin). Istilah 'Help Yourself' merujuk kepada manfaat kesihatan yang dinikmati pengguna daripada produk Palestin yang berkualiti tinggi. Kami juga berharap usahawan tempatan yang menjual produk Palestin akan terus meningkatkan jualan.

"Istilah 'Help Palestine' pula merujuk kepada peranan kami sebagai usahawan sosial di Palestin, dengan setiap ringgit disalurkan terus kepada petani, pekerja, pemandu trak dan pelbagai lapisan masyarakat Palestin. Kami beroperasi dalam rangka kerja mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan Fair Trade International,” katanya.

Diasaskan oleh Ziad Anabtawi pada 2008, Al'Ard ditubuhkan dengan misi untuk memperkasa petani Palestin yang berusaha keras untuk menerima harga pasaran yang sewajarnya bagi minyak zaitun mereka.

Menerusi Al'Ard, kini petani mempunyai akses kepada kemudahan bertaraf dunia, membolehkan minyak zaitun Palestin menjangkau pasaran antarabangsa seperti Arab Saudi, Eropah, Amerika Syarikat, Kanada, Chile, Jepun, Australia, Malaysia, Indonesia, Hong Kong dan Taiwan.

Selepas mempunyai operasi yang mantap di sini selama lebih sedekad, Al'Ard telah berkembang maju, menubuhkan pejabat serantau di Shah Alam, Selangor bagi menguruskan pengedaran produknya di Malaysia dan beberapa negara lain di seluruh Asia dan Timur Jauh.

Hasil daripada perniagaan itu disalurkan terus melalui Bank of Palestine bagi memastikan ia sampai kepada masyarakat di Palestin termasuk petani, pekerja, peniaga dan badan komuniti dengan telus.

Bagi Al'Ard, dasar Malaysia yang teguh untuk menyokong perjuangan Palestin selama beberapa dekad menjadi bukti bahawa negara ini adalah lokasi ideal bagi operasinya.

Selain itu, kehadiran Al'Ard di sini adalah sebagai penghubung kepada usahawan Palestin untuk membawa pelaburan langsung asing ke negara ini, seterusnya memperkukuh ekonomi Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan