AM

MOTAC Anjur Festival Budaya Putrajaya 2024

18/09/2024 12:29 PM

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menganjurkan Festival Budaya Putrajaya 2024 bertemakan “Perpaduan Melalui Seni Budaya” selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOTAC memaklumkan festival yang akan menampilkan pelbagai aktiviti seni, budaya, warisan serta pelancongan itu akan diadakan di Dataran Putrajaya di sini bermula 9 pagi hingga 11 malam.

Menurut MOTAC, kemuncak acara ialah majlis perasmian Malam Gala Warna Warni MADANI yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 malam, Sabtu ini.

Kenyataan itu memaklumkan antara aktiviti menarik untuk pengunjung termasuk jualan produk kraf, mencungkil bakat seni dan budaya, persembahan teater percuma bertajuk “Cinta Ahmad Mutawakkil” serta jelajah makan Putrajaya.

Menurut kenyataan itu, festival dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya diadakan bagi memperkukuhkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum serta mengetengahkan seni dan warisan negara kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Program yang menjadi tumpuan orang ramai setiap tahun ini diteruskan atas saranan Perdana Menteri untuk menjadikannya sebagai program tahunan kerana ia berpotensi menarik kemasukan pelancong asing,” menurut MOTAC.

Kementerian itu memaklumkan festival berkenaan secara tidak langsung dapat menyumbang ke arah mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan