AM

Kejayaan Malaysia Di WSC 2024 Perkukuh Daya Saing Tenaga Mahir Negara - KESUMA

18/09/2024 02:46 PM

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) optimis kejayaan kontinjen Malaysia di pertandingan WorldSkills (WSC 2024) bukan sahaja mengharumkan nama negara tetapi turut membuktikan keupayaan dan kecemerlangan tenaga mahir Malaysia di persada antarabangsa.

Dalam kenyataan selepas majlis menyambut kepulangan kontinjen itu ke tanah air hari ini, KESUMA memaklumkan pertandingan tersebut memberi peluang kepada kontinjen negara meneroka pelbagai teknologi dan amalan terbaik dari negara lain sekali gus memperkukuhkan daya saing tenaga kerja tempatan.

“Pertandingan kemahiran seumpama ini dapat mempromosikan kecemerlangan tenaga mahir negara dan mengesahkan bahawa Pendidikan dan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia adalah kompeten, berkualiti serta setanding dengan piawaian antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu KESUMA juga telah menyediakan insentif khas sebagai penghargaan atas pencapaian kontinjen Malaysia di WSC 2024 sekali gus bagi mendorong lebih banyak belia terlibat dalam bidang kemahiran tinggi dan bersaing di peringkat global.

WSC 2024 di Lyon, Perancis menyaksikan empat peserta Malaysia mencipta kejayaan dengan membawa pulang satu pingat gangsa dan empat pingat “Medallion for Excellence”, satu pencapaian membanggakan negara.

Pertandingan yang berlangsung dari 10 hingga 15 Sept itu menghimpunkan 1,400 peserta dari lebih 70 negara dan wilayah untuk bersaing dalam 62 kategori kemahiran. 

Malaysia menghantar 15 belia berkemahiran tinggi dalam 14 kategori termasuk Integrasi Sistem Robot, Penyelesaian Perisian Teknologi Maklumat (IT) untuk Perniagaan, Teknologi Kenderaan Berat, dan Pembinaan Digital.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan