TOKYO, 18 Sept (Bernama-Kyodo) -- Parti Demokratik Liberal (LDP), parti pemerintah Jepun mencadangkan agar pemilihan perdana menteri baharu diadakan pada 1 Okt ketika permulaan sesi khas Diet, susulan pengunduran Perdana Menteri Fumio Kishida, menurut laporan Agensi Berita Kyodo pada Rabu.
Pemenang pemilihan kepimpinan LDP pada 27 Sept ini, hampir pasti menjadi perdana menteri baharu Jepun kerana kedua-dua dewan parlimen dikawal oleh gabungan pemerintah.
Perdana menteri baharu juga perlu mendapat sokongan daripada kedua-dua dewan itu.
Tarikh pemilihan dijangka dimuktamadkan pada 24 Sept, dengan Kabinet semasa akan memutuskan jadual rasmi pada hari yang sama.
Butiran seperti tempoh sesi khas Diet akan ditentukan oleh perdana menteri yang baharu.
Daripada sembilan calon yang bertanding untuk menggantikan Kishida, calon termuda, Shinjiro Koizumi menyuarakan hasrat untuk membubarkan Dewan Rakyat "secepat mungkin" jika beliau dipilih sebagai perdana menteri.
Tarikh 27 Okt dan 10 Nov disebut sebagai tarikh yang mungkin untuk pilihan raya Dewan Rakyat, namun perdana menteri mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh pembubaran Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, pilihan raya akan datang mesti diadakan sebelum Oktober 2025.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial