AM

Ops Setting: Pegawai Kanan Imigresen 'Dalang Utama' Didakwa Awal Bulan Depan - Azam Baki

18/09/2024 03:09 PM

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Dalang utama, yang juga seorang pegawai kanan imigresen 'berpengaruh' dalam sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi 'counter setting' akan didakwa di mahkamah awal bulan depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata suspek berumur awal 40-an itu yang berkhidmat di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selama 20 tahun telah ditahan pada 5 Sept lepas selepas meloloskan diri ketika operasi dijalankan sebelum ini.

"Suspek yang kita tangkap ini, adalah dalang utama, dia mengawal lebih kurang 50 pegawai (imigresen) sebab dia yang berpengaruh.

"Dia menjadi 'focal person' (individu utama) sebagai perantara kepada hampir semua pegawai imigresen, supaya melaksanakan arahan yang diberikan olehnya," katanya pada sidang media khas, di sini hari ini.

Sementara itu, empat ejen lain yang  terlibat juga akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

Azam berkata bagi pegawai imigresen yang terlibat tetapi tidak didakwa, tindakan punitif akan dicadangkan kepada JIM untuk mencegah kejadian serupa di masa depan.

Beliau mendedahkan bahawa pembayaran rasuah dilakukan secara tunai oleh dalang utama kepada pegawai imigresen dan juga melalui ejen yang menerima wang rasuah daripada warga asing.

Katanya SPRM masih belum dapat mengenal pasti warga asing dan ejen yang terlibat, dan siasatan lanjut akan menjurus ke arah usaha mengenal pasti mereka.

Beliau berkata SPRM mempunyai maklumat mengenai seorang warga Bangladesh yang menjalankan perniagaan di sini, dan siasatan lanjut serta tangkapan akan dilakukan sekiranya maklumat yang diperoleh mencukupi.

Ditanya sama ada dalang utama mempunyai kaitan dengan warga Bangladesh itu, Azam berkata kemungkinan besar ada kaitan memandangkan maklumat yang diterima menunjukkan bahawa beliau mengatur ejen di Bangladesh untuk mencari pekerja-pekerja yang akan dibawa masuk ke Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan